comscore
Tumpuan :
Sukan

HOKI: Faizal sah tidak disenarai, Speedy Tigers sasar layak ke Paris

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

PETALING JAYA: Nama penyerang prolifik, Faizal Saari sah tidak berada dalam senarai 18 pemain yang diumumkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk membawa cabaran negara di Kejohanan FIH Hoki Kelayakan Olimpik 2024.

Ia selepas beberapa siri kecederaan yang dialami faizal selain faktor kesihatannya yang tidak menentu gara-gara penyakit gout yang dihadapinya.

Menurut ketua jurulatih, Arul Selvaraj, kecederaan yang dialami Faizal pada temasya Sukan Asia Hangzhou tahun lalu baru saja pulih dan Faizal belum sempat untuk menjalani latihan penuh.

“Lawan dengan Pakistan, dia mengalami kecederaan, dia mendapat kecederaan itu pada suku pertama permainan, dia kembali selepas menjalani proses pemilihan tetapi fikirannya agak terganggu.

“Dia ada masalah penyakit gout, asid urik dia agak tinggi semasa siri jelajah kita di Korea, dia mengalami masalah penyakit gout, ia kembali lagi, lepas itu kita di New Zealand, masalah gout kembali lagi, dan kerana itu, dia tidak dapat berlatih bersama, hanya baru kembali untuk jalani latihan, pemulihan kecederaannya, dan juga penyakit goutnya, memang membimbangkan dan harus diberi perhatian, jadi saya rasa saya akan pergi dengan barisan pemain yang berada di tahap terbaik dan bersedia untuk beraksi,’ kata Arul pada sidang media pengumuman barisan pemain kebangsaan.

Pada sidang media itu, MHC mengumumkan senarai 18 pemain kebangsaan yang akan membawa cabaran Malaysia di Muscat.

Dua penjaga gol disenaraikan Arul iaitu Muhammad Hafizuddin Othman dan Mohd Zaimi Mat Deris, diikuti enam pemain pertahanan iaitu Muhammad Marhan Mohd Jalil, Muhammad Razie Rahim, Zulpidaus Mizun, Muhammad Syafiq Hassan, Muhammad Amirul Hamizan Azahar dan Muhammad Ramadan Rosli.

Manakala di bahagian tengah, lima pemain berada dalam senarai iaitu Faiz Helmi Jali, Meor Muhammad Azuan Hassan, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Shello Silverius dan Mohd Fitri Saari, sementara bahagian serangan juga dibarisi lima pemain diketuai Muhammad Firhan Ashari, Mohamad Ashran Hamsani, Norsyafiq Sumantri, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dan Muhammad Shahril Saabah.

Lima pertukaran dilakukan Arul berbanding barisan 18 pemain yang beraksi di Sukan Asia Hangzhou tahun lalu dan antara yang menjadi tumpuan, kembalinya Shahril Saabah selepas setahun tidak beraksi buat pasukan kebangsaan.

“Shahril setahun tak main, mungkin suruh dia buka baju nanti, memang dia sangat cergas, walaupun dia melakukan proses pemulihan dia tetap membuat tugasannya di gimnasium.

“Dalam masa kecederaan pun, falsafah kita masa pemain cedera bukan saja buat rehabilitasi untuk pulih dari kecederaan, tetapi untuk menyiapkan mereka untuk kembali menyertai pasukan menjalani latihan, bermakna, ketika menjalani rehabilitasi, mereka juga terus melakukan tugasan dari segi aerobik dan anaerobik mereka,” tambah Arul.

Apapun, segala kelemahan yang dikenalpasti pada temasya Sukan Asia Hangzhou yang lalu sudah pun diperbaiki sebelum ke Muscat.

“Berdasarkan statistik yang kita kumpul, segalanya lebih baik dari kejohanan sebelum itu, perkara yang berbeza adalah kita tidak dapat menjaringkan gol, dan kita tidak mendapatkan gol menerusi pukulan sudut penalti, itu sahaja perbezaannya, selebihnya, statistik memang menunjukkan peningkatan.

“Selain itu, bahagian pertahanan kita juga agak lemah di mana pasukan lawan memiliki jumlah sama atau kurang ke dalam kawasan D, atau kurang peluang pukulan sudut penalti, tetapi mereka menjaringkan gol, dari segi keputusan menang tetapi dari segi statistik agak berbeza, jadi kami ambil maklumat itu, kenalpasti punca, cuba perbaiki, pergi ke New Zealand dan cuba beberapa perkara.

“Telah banyak perkara yang dilakukan semenjak saya balik, saya buat perkara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, tetapi macam saya katakan, saya tidak boleh menang, pemain-pemain perlu melakukan tugas mereka, jadi mesej saya selepas Sukan Asia adalah kemahuan kita dan tingkahlaku kita kena sehaluan, kemahuan kita nak layak ke Sukan Olimpik, tetapi tingkah laku kita juga kena sehaluan,” kata Arul lagi.

Misi di Muscat, Oman menjadi gelanggang terakhir buat skuad hoki kebangsaan untuk menamatkan penantian 24 tahun untuk kembali ke pentas Sukan Olimpik.

Hanya tiga slot menjadi rebutan 8 pasukan untuk ke Paris pada saingan yang akan membuka tirainya 15 Januari nanti.

Malaysia akan memulakan aksi Kumpulan A menentang China pada 15 Januari (jam 10.30 malam waktu Malaysia), diikuti aksi berdepan Great Britain pada 17 Januari (jam 12.45 tengah malam waktu Malaysia) sebelum bertemu Pakistan pada 19 Januari (jam 12.45 tengah malam waktu Malaysia) dengan sasaran untuk menghuni dua kedudukan teratas.

“Secara realistik berdasarkan prestasi, ranking dan kualiti, sudah tentu semua faham bahawa Great Britain lebih baik dari kita, kita harus menewaskan China dan Pakistan, kemudian kita boleh menamatkan aksi di posisi dua terbaik, kemudian akan mara ke pusingan kalah mati.

“bila layak ke peringkat itu, kita akan ada dua peluang, peluang pertama adalah perlawanan separuh akhir, bertemu dengan pasukan dari Kumpulan B, menang separuh akhir, kita akan layak ke Olimpik, kalau kita kalah separuh akhir, kita masih ada penentuan tempat ketiga, satu lagi peluang terakhir,” kata Arul.

Skuad ‘The Speedy Tigers’ akan berlepas ke Oman 11 Januari nanti, bakal mengadakan dua aksi persahabatan bertemu Kanada dan Chile sebelum memulakan misi ke Paris pada 15 Januari.

Loading...
Terkini