KUALA LUMPUR: Skuad hoki dalam dewan lelaki negara melepasi cabaran pertama pada pusingan kedua Piala Asia 2024 apabila menewaskan Thailand 5-2 di Taldykorgan, Kazakhstan, semalam.
Aksi Kumpulan C di Kompleks Sukan Taldykorgan menyaksikan ketua pasukan Najmi Farizal Jazlan meledak dua gol berturut-turut masing-masing pada minit keempat dan kesembilan selepas menyempurnakan kelebihan pukulan sudut penalti.
Giliran pemain tengah Izham Azhar mencatat nama selaku penjaring ketiga skuad kendalian Rodzhanizam Mat Radzi menerusi satu lagi pukulan sudut penalti pada minit ke-18 dan mereka terus melebarkan kedudukan dengan jaringan padang penyerang Khaliq Hamirin pada minit ke-29.
Sebaik sahaja suku keempat bermula, Thailand memperoleh dua jaringan menerusi pukulan sudut penalti disudahkan Warawut A-Nukoon pada minit ke-30 dan ke-34 sebelum penyerang Faridzul Afiq Mohd melengkapkan kemenangan skuad negara dengan menyumbat masuk pukulan sudut penalti tiga minit sebelum tamat.
Rodzhanizam dalam satu kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) berkata, beliau amat berpuas hati dengan kemenangan diraih anak buahnya dan menuntut pemain turun bermati-matian dalam meraih keputusan positif menentang juara lapan kali, Iran hari ini bagi menempah slot ke final sekali gus meneruskan misi mempertahankan kejuaraan.
Dua pasukan teratas Kumpulan C bukan sahaja melangkah ke pentas akhir malah meraih slot automatik ke Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2025 di Porec, Croatia dari 3 hingga 9 Februari tahun depan.
Pada pusingan pertama, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B membelasah Oman 10-2 Selasa lalu, diikuti seri 3-3 dengan tuan rumah Kazakhstan dan mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua dengan mengatasi juara Sukan SEA 2023, Indonesia 5-4 kelmarin. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.