KUALA LUMPUR: Hasrat skuad hoki wanita negara untuk mencipta kejutan pada aksi separuh akhir Trofi Juara-Juara Asia (ATC) di Bihar, India tidak kesampaian apabila tewas 1-3 kepada China, hari ini.
Pada pertemuan di Stadium Hoki Rajgir itu, China yang juga pemenang pingat perak Olimpik Paris 2024 tidak memerlukan masa lama untuk merobek gawang Malaysian Tigress dengan membuka tirai jaringan seawal minit ke-10.
Gol menerusi jaringan padang pasukan yang menghuni ranking keenam dunia itu diperoleh menerusi Deng Qiuchan sebelum gawang negara sekali lagi bocor selang tujuh minit kemudian, kali ini menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan Fan Yunxia.
Gergasi hoki wanita dunia itu kemudian menambah jaringan ketiga pada minit ke-23 menerusi Tan Jinzhuang.
Enggan terus dibolosi, skuad kendalian Nasihin Nubli Ibrahim tampil memperkemaskan corak permainan dan tindakan memburu jaringan itu berhasil pada minit ke-36 menerusi Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin.
Kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat yang menyaksikan Malaysia yang menghuni ranking ke-23 dunia terselamat daripada sekali lagi dimalukan China selepas dipalit kekalahan besar 0-5 pada aksi peringkat kumpulan.
Skuad Malaysian Tigress selepas ini dijadual menyertai penentuan tempat ketiga sama ada bertemu India atau Jepun, esok.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.