MANCHESTER, England: Dua jaringan Rasmus Hojlund membantu Manchester United melakar kemenangan 3-2 ke atas Bodø/Glimt pada aksi Liga Europa awal pagi tadi, sekali gus menghadiahkan Ruben Amorim kemenangan sulung di laman sendiri di Old Trafford.
Alejandro Garnacho terlebih dahulu meletakkan United di depan seawal minit pertama selepas kesilapan dilakukan penjaga gol lawan Nikita Haikin.
Namun kelab Norway itu bangkit meledak dua gol menerusi Hakon Evjen dan Philip Zinckernagel pada minit ke-19 serta minit ke-23.
Hojlund memberikan kelegaan buat United apabila menyamakan kedudukan sebelum rehat, disusuli gol kedua peribadi yang juga gol ketiga pada awal babak kedua.
Bekas bos Sporting Lisbon, Amorim, melakukan enam pertukaran kesebelasan utama berbanding ketika United seri 1-1 menentang Ipswich dalam perlawanan pertama kendaliannya Ahad lalu.
Tyrell Malacia kembali ke dalam kesebelasan United buat kali pertama sejak perlawanan terakhir musim 2022-23.
United kini menghuni tangga ke-12 carta dengan dua kemenangan dan tiga seri dalam lima perlawanan pertama yang menggunakan format liga.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.