SEPANG: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, tidak sabar untuk memulakan tugasnya selepas tiba di Kuala Lumpur, malam tadi.
Jurulatih berpengalaman dari Indonesia itu, yang ditemani isteri dan anak-anaknya, akan memulakan tugas secara rasmi pada Sabtu ini.
Herry, yang lebih dikenali sebagai Herry IP, teruja untuk menghadapi cabaran baharu di Malaysia, negara asing pertama yang diterokainya sebagai jurulatih selepas hampir 30 tahun membimbing pemain Indonesia.
Menurutnya, beliau sudah berkesempatan bertemu dengan barisan pemain beregu lelaki negara ketika mereka menyertai saingan Masters Indonesia di Jakarta, minggu lalu.
“Di Jakarta, saya mengundang mereka untuk makan malam bersama saya dan keluarga bagi saling mengenali.
“Sebenarnya, pemain Malaysia bukanlah asing buat saya kerana sebelum ini juga sudah sering bertemu di kejohanan-kejohanan.
“Jadi, sekarang saya akan bekerjasama dengan mereka dan lihat bagaimana saya boleh membantu mereka melonjakkan lagi prestasi serta menghasilkan kejayaan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.
Sebelum ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan pelantikan Herry—yang turut digelar ‘Jurulatih Naga Api’—sebagai ketua jurulatih beregu lelaki negara, menggantikan Tan Bin Shen yang berhijrah ke Hong Kong.
Sebagai ketua jurulatih beregu lelaki, beliau akan dibantu oleh seorang lagi jurulatih dari Indonesia, Muhammad Miftakh.
Skuad beregu lelaki negara ketika ini terdiri daripada Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Man Wei Chong, Tee Kai Wun, Choong Hon Jian, Muhammad Haikal Nazri, Wan Arif Wan Junaidi, Yap Roy King, Goh Boon Zhe, Wong Vin Sean, Fazriq Razif, Bryan Jeremy Goonting, Aaron Tai dan Kang Khai Xing.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.