KUALA TERENGGANU: Legenda sepak takraw kebangsaan, Haris Abd Rahman menyarankan agar Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengkaji semula kebenaran menyenaraikan pemain import dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) Malaysia.
Bekas jurulatih kebangsaan pada 1988 hingga 1997 itu berpendapat sudah tiba masanya PSM menghentikan kebenaran pengambilan pemain import buat pasukan yang beraksi dalam STL selepas hampir enam tahun berbuat demikian.
Haris 72, yang pernah membimbing skuad kebangsaan pasukan Korea Selatan pada 2006, Iran 2012 dan 2015 serta Singapura pada 2002 menjelaskan peluang seluas-luasnya harus diberikan kepada pemain tempatan untuk membuktikan kemampuan dan mengasah bakat mereka.
“Bagi saya, sudah tiba masanya PSM menghentikan kebenaran pengambilan pemain import dalam STL selepas beberapa tahun kebenaran itu diberikan.
Kita seharusnya memberi peluang seluas-luasnya kepada anak tempatan untuk membuktikan kemampuan dan saya lihat kehadiran pemain import pun bukannya sentiasa memberikan kemenangan kepada pasukan diwakilinya.
Lihat kejohanan sedang berlangsung sekarang apabila pemain import tidak banyak membantu pasukan diwakili sebab itu saya sarankan beri peluang kepada pemain tempatan mengasah bakat mereka.
Lagipun dengan menyertai kejohanan berprestij seperti STL, keyakinan dan kemahiran terutama pemain muda kian bertambah jika diberikan pendedahan berterusan, sekali gus menguntungkan skuad negara.
Lagi satu, kita belum dapat menyaingi Thailand. Jadi sampai bila kita mahu bergantung kepada pemain import? Bagi saya, kehadiran pemain import itu hanya untuk tarikan penonton tempatan dan luar kerana disiarkan secara langsung.
Secara tidak langsung, pasukan lawan boleh melihat dan mengkaji kemampuan pemain negara kita beraksi dalam kejohanan STL sebelum membuat analisis,” katanya.
Haris adalah bekas perejam dalam skuad sepak takraw kebangsaan yang merangkul pingat emas dalam Sukan SEAP (Sukan Semenanjung Asia Tenggara) pada 1971 selepas menewaskan musuh tradisi, Thailand.