comscore
Tumpuan :
Sukan

Hatrik Arif Aiman bawa JDT ke final 

FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah bergaya ke final Piala FA selepas membelasah Selangor FC 4-0 pada aksi separuh akhir di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, JDT bakal berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Stadium Sultan Ibrahim, 22 Julai ini selepas skuad kendalian Bojan Hodak layak ke final hasil kemenangan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti menewaskan Terengganu FC semalam.

Pada pertembungan berintensiti tinggi itu, skuad kendalian Tan Chen Hoe bagaikan `termakan’ perang psikologi JDT apabila terpaksa bekerja keras mengekang asakan bertubi-tubi barisan serangan skuad Harimau Selatan.

FOTO: NSTP

Menerusi percubaan awal di minit ketujuh Leandro Velazquez terlepas peluang terhidang apabila gagal merembat bola tepat ke gawang walaupun berada di dalam kotak penalti selepas menerima bola umpanan Fernando Forestieri.

Walaupun Selangor sering diasak, peluang yang hadir pada minit ke-18 hampir memerangkap penjaga gol tuan rumah, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang terpaksa menepis bola keluar hasil sepakan lencong Aryon Rodriguez.

Serangan balas skuad Harimau Selatan pada minit ke-20 membuahkan hasil selepas bola umpanan Forestieri membuka ruang buat Arif Aiman Hanapi yang berjaya melepasi kawalan Quentin Cheng sebelum merembat bola leret tepat ke penjuru kanan gol menewaskan Khairul Azhan Khalid.

FOTO: NSTP

Arif Aiman nyata berada dalam kelas tersendiri selepas mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-33 berpunca daripada bola umpanan Velazquez, pemain muda yang meningkat naik itu secara solo memperdaya tiga pemain pertahanan Selangor FC sebelum merembat bola kencang tepat ke penjuru kanan.

Arif Aiman sekali lagi gagal dikekang apabila meledak hatrik pada minit ke-38 berpunca daripada bola gerakan Forestieri dengan Pemain Paling Bernilai dua musim berturut-turut itu mudah mengelirukan pemain gantian, Ahmad Zikri Khalili dan sempat menyungkit bola menewaskan Khairul Azhan.

Bersambung babak kedua, JDT tidak menunggu lama untuk melenyapkan sisa perjuangan anak didik Cheng Hoe apabila Forestieri bijak menyusup masuk ke dalam kotak penalti walaupun diasak pemain gantian, Ahmad Khuzaimie Piee pada minit ke-47.

Kedudukan 4-0 yang memihak skuad kendalian Esteban Solari sudah cukup menceriakan lebih 32,000 penyokong yang hadir menjadi saksi JDT ke pentas final untuk musim kedua berturut-turut.

Loading...
Terkini