comscore
Tumpuan :
Sukan

Hati Asraruddin Putra Omar kini terpaut di Tanah Suci

Oleh: Azri Mukhlas

MAKKAH: Bekas pemain kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Asraruddin Putra Omar mengakui masih berhasrat untuk menyarung jersi tetapi akur bahawa kecederaan yang dialaminya serta faktor umur menjadi penghalang utama.

Penampilan Asraruddin Putra, 35 tahun yang ditemui di Kota Suci Makkah kini jauh berbeza dengan penampilannya ketika menyarung jersi JDT dan Harimau Malaya.

“Saya cuba untuk bermain tetapi impak sakit itu membuatkan saya tidak boleh beraksi secara berterusan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Asraruddin Putra yang tidak pernah mengumumkan bersara daripada arena bola sepak selepas mengalami kecederaan di kaki kirinya ketika bersama JDT berkata ramai peminatnya tidak mengetahui mengenai keberadaannya di sebuah perkampungan Melayu di Bukit Ajyad di sini.

“Saya sebenarnya ada pasang impian sejak kecil dulu, saya tengok orang datang Makkah buat umrah, kalau ada rezeki nak duduk sini sama ada di Makkah atau Madinah, malah dikebumikan di sini. Tetapi hanya sekadar impian sahaja lah sebab saya tak kenal sesiapa di Makkah atau Madinah,” katanya.

Katanya beliau kemudian mengetahui mengenai perkampungan berkenaan menerusi kenalannya selepas melakukan umrah buat kali kedua di Tanah Suci pada 2022.

Menurut Asraruddin Putra, beliau kembali ke Makkah pada awal tahun ini dan berada di sini selama tiga bulan dengan menyewa rumah di perkampungan Melayu berkenaan, kira-kira tiga kilometer dari Masjidil Haram.

Bekas pemain kelab JDT, Asraruddin Putra Omar bersama wartawan Media Prima Berhad, Azri Mukhlas.

Pemain yang pernah menjalani latihan percubaan bersama kelab gergasi Belanda, PSV Eindhoven itu turut bertemu jodoh dengan Tengku Nurliyana Tengku Azlan, jururawat berasal dari Gong Badak, Terengganu yang bekerja di sebuah hospital di Jeddah, Arab Saudi.

Mereka berdua mendirikan rumah tangga pada 13 Mei lalu di Shah Alam, Selangor sebelum kedua-duanya kembali ke Makkah, tiga hari kemudian.

Loading...
Terkini