Tumpuan :
Sukan

Hassan Serah Kedudukannya Kepada FAM

 

FOTO: FAM

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad Bawah 19 tahun (B-19) kebangsaan, Hassan Sazali Waras menyerahkan nasibnya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung kontraknya yang akan berakhir hujung tahun ini.

Hassan mengakui dia akan menerima apa sahaja ketetapan daripada badan induk itu dan jelas sudah bersedia jika khidmatnya tidak lagi diperlukan.

“Saya serahkan kepada FAM dan pengurusan untuk memutuskan nasib saya kerana kontrak masih lagi berbaki hingga hujung tahun ini. Kalau diberi peluang, saya tidak ada masalah untuk bersama skuad ini kerana mereka ada potensi untuk pergi lebih jauh.

“Kalau lihat keputusan sebelum ini, mereka berjaya menewaskan Vietnam yang ketika ini adalah gergasi saingan AFF (Persekutuan Bolasepak ASEAN) dan menjuarai kejohanan itu. Malah pada perlawanan jemputan di Vietnam, mereka berjaya menamatkan saingan dengan gelaran naib juara.

“Saya sebenarnya berbangga dapat mengendalikan pasukan ini kerana mereka yang berada dalam pasukan ini adalah pemain yang akan membarisi skuad senior satu hari nanti.

“Jadi saya harap, sekiranya kontrak bersama FAM tidak disambung, mereka boleh menjaga dan melatih bakat muda ini dengan lebih baik kerana mereka ini adalah aset terbesar masa depan bola sepak negara,” katanya.

Terdahulu, timbul khabar angin yang menyatakan kontrak Hassan berkemungkinan tidak akan disambung susulan kegagalan skuad B-19 layak ke Piala Asia Bawah 20 tahun yang berlangsung di Uzbekistan tahun depan.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat dan membincangkan mengenai kontrak jurulatih itu.

“Berkenaan kontrak Hassan, kami akan membawa perkara itu dalam mesyuarat dan mungkin akan diumumkan kelak,” katanya secara ringkas. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini