KUALA LUMPUR: Hasrat skuad hoki negara untuk melangkah ke final kejohanan Piala Remaja Asia 2024 tidak kesampaian selepas tewas 3-1 kepada penyandang juara, India pada separuh akhir di Muscat, Oman malam tadi.
Skuad negara kendalian I Vikneswaran memulakan perlawanan dengan baik namun gawang mereka terlebih dahulu dibolosi menerusi jaringan padang oleh Dilraj Singh pada minit ke-10.
Memasuki suku kedua, Malaysia cuba bangkit dengan mengatur beberapa gerakan serangan untuk menyamakan kedudukan namun percubaan mereka gagal diterjemahkan kepada gol.
India menambah gol kedua pada hujung suku ketiga, kali ini menerusi Rohit yang menyempurnakan pukulan sudut penalti, sekali gus meletakkan tekanan besar kepada skuad muda negara.
Suku terakhir menyaksikan India terus mengukuhkan kedudukan dengan jaringan ketiga hasil pukulan kencang Shardanand Tiwari pada minit ke-53.
Malaysia akhirnya meraih gol sagu hati pada minit ke-57 menerusi Azimuddin Syakir Kamaruddin namun ia tidak cukup untuk mengubah keputusan perlawanan.
Kemenangan itu mengesahkan tempat India ke final bertemu seteru tradisi, Pakistan yang sebelum itu menewaskan Jepun 4-2.
Malaysia pula bertemu Jepun bagi penentuan tempat ketiga dan keempat hari ini. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.