comscore
Tumpuan :
Sukan

Harimau Muda kejutkan Oman

Haykal Danish meraikan gol kedua Harimau Muda memastikan kemenangan 2-1 ke atas Oman. FOTO: AFC

PETALING JAYA: Harimau Muda melakar kejutan menewaskan Oman 2-1 dalam Kumpulan E, pada saingan Piala Asia Bawah 20 tahun di Stadium Republican Central, Dushanbe, sebentar tadi ini.

Kemenangan penting ke atas pasukan yang dianggap sebagai pilihan dalam Kumpulan E itu pasti memberi motivasi terbaik untuk anak buah Juan Torres Garrido bagi menghadapi aksi kedua berdepan Korea Utara, Isnin ini.

Tiga mata itu amat berharga buat skuad negara memandangkan hanya juara kumpulan serta lima naib juara terbaik akan mengesahkan slot ke pusingan akhir di China, tahun depan.

Pada aksi terbabit, Oman berpeluang untuk membolosi gawang skuad muda negara seawal minit ke-9, mujur tampanan Muhand Al-Saadi susulan percubaan Fahad Al-Mukhaini tidak menepati sasaran.

Harimau Muda membalas pada minit ke-16, gerakan menarik Mohamad Haykal Danish Mohd Haizon nyaris membuahkan hasil, hanya tiang yang menjadi penghalang.

Skuad negara bagaimanapun membuka jaringan pada minit ke-30 selepas Moses Raj menampan sepakan percuma Haykal Danish dan menewaskan penjaga gol Oman, Abdullah Al Jabri.

Begitupun kesilapan pertahanan Malaysia hampir  dimanfaatkan Oman selepas bola dirampas Faisal Al-Hadidi namun percubaan pemain gantian itu diselamatkan penjaga gawang negara, Haziq Aiman pada minit ke-57.

Malaysia yang sesekali mengasak dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-63 selepas Haykal Danish dijatuhkan dan Haykal tenang menyudahkan sepakan penalti dengan gaya ‘panenka’ untuk gol kedua  skuad negara.

Oman mengurangkan defisit pada minit ke-87 apabila Majid Al-Farsi menyempurnakan sepakan penalti namun kedudukan 2-1 berpihak kepada Malaysia kekal sehingga tamat perlawanan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini