comscore
Tumpuan :
Sukan

Harimau Malaya waspada taktikal India

Kim Pan Gon dan Matt Davies pada sidang media pra perlawanan Malaysia – India. – FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengingatkan anak buahnya agar berhati-hati dengan permainan agresif India pada perlawanan pembuka tirai Pestabola Merdeka di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.

Pan Gon yang merumuskan India pasukan yang kuat, bagaimanapun memaklumkan barisan pemainnya sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan skuad The Blue Tigers berdasarkan apa yang dipamerkan sepanjang latihan sejak minggu lalu.

“Apa yang kami sudah lakukan beberapa hari lalu dalam latihan, pasukan menunjukkan perkembangan yang bagus. Saya berpuas hati dengan penerimaan pemain terhadap taktikal dan perancangan permainan kami.

“Malah, pemain juga teruja dan penuh yakin untuk menghadapi perlawanan esok. Namun, semua tahu India berada di ranking lebih baik dengan mereka sangat agresif dan bekerja keras.

“Ia akan menjadi perlawanan yang bagus dan saya menjangkakan pasukan India lebih kuat dari kami. Jadi kami perlu tampil lebih mantap dengan memberi fokus dari minit pertama hingga 90 minit,” kata Pan Gon  pada sidang media di  hari ini.

Kali terakhir Malaysia bergelar juara Pestabola Merdeka pada 2013 yang berlangsung di Stadium Darulmakmur Kuantan, menewaskan Myanmar 2-0.

Untuk saingan kali ini, Harimau Malaya mesti menewaskan India  bagi mengelak hanya beraksi satu perlawanan susulan penarikan diri Palestin pada saat akhir yang menyaksikan Tajikistan mendapat ‘bye’ aksi pertama dan terus ke final.

Sebagai rekod India mendudukki ranking ke-102 dunia berbanding Malaysia 134 dunia.

Menjelang aksi esok, pemain naturalisasi Paulo Josue tidak dapat  bersama pasukan kerana mengalami demam denggi.

Bagaimanapun Pan Gon lega, seorang lagi pemain tengah, Stuart Wilkin yang sebelum ini mengalami kecederaan sudah pulih dan bersedia untuk diturunkan.

Loading...
Terkini