Tumpuan :
Sukan

Harimau Malaya tidak terdesak ‘bantai’ Timor Leste

Pengendali skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente pada sidang media menjelang perlawanan menentang Timor-Leste di Stadium Nasional, Bukit Jalil. – FOTO: FAM

KUALA LUMPUR: Jaringan besar bukanlah menjadi misi utama buat skuad Harimau Malaya menjelang aksi kedua Kumpulan A Piala AFF 2024 menentang Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam esok.

Meskipun lawan baru sahaja dibelasah Thailand 0-10 pada aksi pertama namun pengendali skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente menegaskan fokus utama adalah menyusun rencana terbaik bagi memastikan kemenangan dapat berada dalam genggaman mereka.

Malah, pengendali dari Sepanyol itu menyifatkan ini juga aksi yang penting buat skuad negara memandangkan mereka terlepas peluang terbaik untuk meraih tiga mata selepas terikat 2-2 menentang Kemboja di Manila, Ahad lalu.

“Saya rasa kita tidak boleh fikirkan mengenai berapa banyak gol (boleh dijaringkan) tetapi kita kena fikir bagaimana untuk menang dahulu. Kita perlu fokus dengan permainan berintensiti tinggi.

“Tidak kisahlah kita bermain dengan pasukan mana sekalipun, kita kena fikir yang kita boleh menang. Sebab itulah kami menantikan perlawanan di tempat sendiri kerana kita ada kelebihan apabila beraksi di sini.

“Ini perlawanan yang sangat penting, ini bukanlah aksi persahabatan kerana kita perlu mengutip tiga mata untuk membantu kita pergi lebih jauh dalam perlawanan ini,” kata Vicente pada sidang media pra perlawannan di SNBJ, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Vicente turut menyatakan anak buahnya memberikan sepenuh tumpuan untuk aksi berdepan Timor-Leste terlebih dahulu meskipun ujian sebenar menanti mereka apabila berhadapan Thailand di Bangkok, Sabtu ini.

Justeru, beliau tetap akan menurunkan kelibat barisan pemain terbaik untuk menentang pasukan di ranking ke-196 dunia itu sebelum mengalihkan tumpuan untuk mengatasi Thailand yang juga juara bertahan itu.

“Kita ada 26 pemain dalam senarai dan kita akan gunakan pemain yang kita fikirkan dapat membantu pasukan ini meraih kemenangan.

“Semua pemain kena bersedia dan kita akan membuat penilaian berdasarkan keadaan. Kita perlu selesaikan kerja kita di sini dahulu sebelum melakukan persediaan untuk menentang Thailand,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini