comscore
Tumpuan :
Sukan

Harimau Malaya tidak diswastakan, FAM tubuh unit baharu

Oleh: Syakirah Zulkifly

KELANA JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan skuad Harimau Malaya tidak akan diswastakan, malah akan terus kekal di bawah seliaan badan induk bolasepak kebangsaan itu.

 

Perkembangan itu dikongsikan Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang menjelaskan satu unit baharu yang tetap berada di bawah kendalian badan induk itu akan ditubuhkan untuk memantau dan mengendalikan skuad kebangsaan secara khusus selepas ini.

Selain itu, skuad bawah 23 tahun (B-23) turut akan diletakkan di bawah unit khas itu bagi memastikan kesinambungan antara skuad senior dan skuad pelapis dapat diteruskan tanpa sebarang masalah.

“Isu penswastaan pasukan kebangsaan ini tidak timbul kerana akan ada satu unit khas untuk pasukan kebangsaan yang turut membabitkan skuad B-23.

“Unit ini akan bertanggungjawab kepada Presiden (Tan Sri Hamidin Mohd Amin) dan juga Exco FAM. Cuma peruntukan untuk unit ini akan dijaga khusus supaya kewangannya tidak digunakan kepada lain kerana kita pun ada banyak skuad kebangsaan yang lain” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa FAM di Wisma FAM, hari ini.

Sebagai rekod, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tidak akan menyekat projek ‘penswastaan’ skuad Harimau Malaya untuk bergerak secara berasingan, namun itu tidak bermaksud pengurusan skuad kebangsaan perlu berpisah dengan FAM.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John menjelaskan struktur baharu untuk mengasingkan pengurusan skuad kebangsaan itu perlu kekal berada di bawah bidang kuasa dan tanggungjawab FAM.

Terdahulu, wujud seolah-olah idea baharu untuk memperkasakan skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa dengan mencadangkan agar pasukan kebangsaan bergerak berasingan atau diswastakan.

Perkara itu dikongsikan Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) di laman sosial miliknya dengan berkongsi sistem, peranan dan carta organisasi badan bebas itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini