DOHA: Harimau Malaya terpaksa akur gagal ke fasa kalah mati pada saingan Piala Asia selepas tewas tipis 0-1 di tangan Bahrain menerusi jaringan minit-minit akhir di Stadium Jassim Bin Hamad di Doha sebentar tadi.
Gol kemenangan Bahrain menerusi rembatan Ali Madan yang mengelirukan penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi pada minit ke-95 perlawanan.
Separuh masa pertama jelas dikuasai Harimau Malaya menerusi serangan bertali arus namun gagal menemui sentuhan penyudah.
Kekalahan ini menyaksikan Harimau Malaya terus tersingkir daripada persaingan untuk berada sekurang-kurangnya di kedudukan ketiga terbaik dalam kelompok empat pasukan mara ke 16 pasukan terakhir.
Untuk aksi malam ini, ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon melakukan empat perubahan dalam kesebelasan utama Harimau Malaya berbanding ketika berdepan Jordan, Selasa lalu.
Perubahan itu termasuk di bahagian serangan dengan pengendali dari Korea Selatan itu meletakkan pemain naturalisasi, Paulo Josue dan merehatkan Darren Lok dan Romel Morales.
Bahagian tengah turut berlaku perubahan yang mana Pan Gon menyenaraikan Syamer Kutty Abba untuk bergandingan bersama Stuart Wilkin.Syamer menggantikan tempat Afiq Fazail.
Manakala bahagian pertahanan paling banyak berubah dengan Pan Gon meletakkan dua bek tengah, Shahrul Saad dan Dominic Tan selain tiga lagi pemain yang beraksi ketika menentang Jordan iaitu kapten, Matthew Davies, Dion Cools dan La’Vere Corbin-Ong.
Malaysia akan menentang Korea Selatan pada perlawanan terakhir Kumpulan E, Khamis ini.
Selepas masing-masing mengharungi dua perlawanan, Jordan di tangga teratas mengumpul empat mata, mengatasi Korea Selatan menerusi perbezaan jaringan meskipun turut meraih empat mata.