comscore
Tumpuan :
Sukan

Harimau Malaya nak menyanyi pula

Foto: FAM

Oleh: Fariz Fikri Zolkarnain

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melakar sejarahnya yang tersendiri apabila mengumumkan Warner Music Malaysia (WMM) sebagai rakan penaja muzik rasmi Harimau Malaya hari ini.

Majlis pengumuman jalinan kerjasama dilancarkan petang ini dalam satu majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, dan Pengarah Urusan WMM, Dinesh Ratnam.

Perjanjian kerjasama telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, dan Pengarah A&R WMM, Raqeem Brian.

Projek pertama untuk memulakan kerjasama yang menarik ini adalah untuk menghasilkan lagu rasmi bola sepak untuk Harimau Malaya.

Mohd Yusoff meluahkan keterujaan beliau di atas kerjasama terbaharu FAM bersama WMM.

“Seperti yang semua sedia maklum, muzik merupakan antara elemen penting yang dapat menghidupkan rasa semangat dan keterujaan dalam sukan bola sepak.

“Ia juga antara salah satu cara di mana kita dapat menghubungkan generasi ke generasi dan saya amat teruja untuk melihat lagu rasmi bola sepak kebangsaan oleh WMM menarik rakyat Malaysia terutama sekali generasi muda daripada pelbagai latar belakang dan kaum.

Foto: FAM

“Selain itu, saya pasti menerusi lagu rasmi bola sepak kebangsaan ini, ia dapat membakar semangat pemain-pemain Harimau Malaya apabila turun beraksi demi negara pada perlawanan-perlawanan yang akan datang.

“Besar harapan saya agar jalinan kerjasama menyatukan dua elemen yang kuat – bola sepak dan muzik – untuk mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi semua peminat Harimau Malaya,” katanya.

Hadir sama pada majlis pengumuman kerjasama FAM dan WMM itu, ahli Exco FAM, Md Dali Wahid dan Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah.

Sementara itu, Dinesh turut berkongsi keterujaannya mengenai kerjasama ini.

“Bolasepak adalah sukan yang sangat disukai oleh semua rakyat Malaysia dan kami berbangga menyokong pasukan kebangsaan kami, Harimau Malaya, di dalam dan di luar padang.

“Oleh itu, kami di Warner Music Malaysia, sangat berbangga menjadi rakan penaja muzik rasmi pertama untuk FAM, dan teruja untuk memulakan kerjasama kami dengan menghasilkan lagu rasmi untuk Harimau Malaya.

“Ini adalah peluang yang sangat baik bagi kami untuk menunjukkan komitmen kami dalam menyokong kedua-dua sukan dan muzik industri di Malaysia dan kami berharap kerjasama ini juga akan meningkatkan semangat kesukanan di kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini