KUALA LUMPUR: Langkah pertama dalam misi ke Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada dibuka secara rasminya buat Malaysia dengan aksi berdepan Kygryzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Aksi pertama daripada enam perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 itu ternyata begitu mustahak seperti ditekankan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini.
Perlawanan ini dilihat menjadi misi ‘serampang tiga mata’ buat Kim Pan Gon apatah lagi selepas terpalit kedukaan apabila tumbang di tangan Tajikistan yang menyaksikan ranking skuad negara terjerumus tiga anak tangga ke kedudukan 137 dunia.
Justeru, ini kesempatan terbaik untuk skuad Harimau Malaya bangkit daripada ‘awan gelap’ di Pestabola Merdeka dan perlawanan kelayakan ini lebih ‘berat’ memandangkan ia menawarkan mata ranking lebih tinggi berbanding aksi persahabatan.
Menentang Kyrgyzstan yang berada 40 anak tangga di atas Malaysia, Malaysia boleh menambah 15.49 mata sekiranya menundukkan skuad bimbingan Stefan Tarkovic itu – hanya 2.99 mata dapat ditokok jika Malaysia seri.
Kalah juga bukan pilihan buat anak buah Pan Gon kerana mereka boleh kehilangan 9.51 mata sekali gus menyaksikan mereka tidak boleh tewas lagi untuk mengelak ranking negara jatuh buat kali kedua berturut-turut.
Sedikit fakta sebagai motivasi untuk skuad negara apabila Pan Gon berjaya menjadikan laman sendiri sebagai ‘jerangkap samar’ yang memerangkap pasukan lawan di mana skuad negara hanya tewas dua daripada 16 perlawanan di ‘kandang’ sendiri.
Dua kekalahan itu bagaimanapun hadir menentang pasukan di ranking lebih tinggi berbanding Malaysia iaitu Bahrain dan Tajikistan manakala Kyrgyzstan juga adalah pasukan yang berada lebih ‘atas’ daripada Malaysia.
Skuad negara juga tidak perlu ‘goyang’ dengan ranking Kyrgyzstan kerana menentang negara dari Asia Tenggara (ASEAN) bagaikan ‘kryptonite’ buat mereka selain mereka turut ‘hilang sengat’ ketika ini.
Dalam dua aksi berdepan pasukan dari ASEAN pada tahun ini, mereka tewas 1-0 di tangan Filipina dan seri 1-1 dengan Myanmar – mereka juga hanya mampu menang sekali ke atas Kuwait (3-1) daripada tujuh perlawanan diharungi sejak Mac lalu.
ARTIKEL BERKAITAN
- 12 mata okay, 13 mata lebih manis – Pan Gon
- Kontrak lanjutan Pan Gon sudah dibincang – FAM
- Pan Gon panggil semula Sumareh
- Pan Gon tetap mahukan aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil
- Kim Pan Gon ‘tegur’ jurulatih Tajikistan
- Pan Gon kekalkan sebahagian besar barisan Harimau Malaya ke Pesta Bola Merdeka, intai gelaran juara