comscore
Tumpuan :
Sukan

Harimau Malaya miliki banyak pilihan taktikal hadapi New Zealand

Sesi latihan rasmi skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti Vicente di Stadium North Harbour, Auckland sebagai persiapan menentang New Zealand pada perlawanan antarabangsa Tier 1, petang esok.-Foto: FAM.

KUALA LUMPUR: Kesemua 27 pemain skuad Harimau Malaya berpeluang menguji New Zealand dalam aksi persahabatan Tier 1 di Stadium North Harbour, petang esok.

Ini kerana pengendali kebangsaan, Pau Marti Vicente mengesahkan semua pemain negara berada dalam keadaan terbaik dan boleh diturunkan berikutan tiada pemain yang mengalami kecederaan setakat ini.

Perkembangan itu sekali gus menyaksikan Vicente mempunyai banyak pilihan taktikal pada sesi latihan terakhir di venue perlawanan hari ini.

“Kita sentiasa fokus pada persiapan diri sendiri dan lebih baik kita membuat perancangan mengikut corak permainan kita, bagaimana cara kita bermain dan bagaimana kita hendak mengendalikan pasukan lawan.

“Kita juga memperbaiki kesilapan daripada perlawanan sebelum ini. Kita akan lihat bagaimana New Zealand beraksi dan kita akan cuba menggunakan pilihan terbaik yang kita ada,” katanya.

Harimau Malaya seharusnya merebut peluang untuk terus melonjak dalam kedudukan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) walaupun berdepan cabaran sukar menentang skuad ‘All Whites’.

Skuad kebangsaan yang menghuni ranking ke-132 berpeluang menambah 6.22 mata jika berjaya menumbangkan New Zealand yang juga pasukan nombor satu di Oceania ketika ini yang berada di kedudukan ke-95 dunia.

Vicente berharap anak buahnya dapat memberikan aksi yang terbaik meskipun sedar ini bukanlah pertembungan mudah berdepan New Zealand yang dibarisi beberapa pemain beraksi di liga terkemuka Eropah.

“Semua perlawanan antarabangsa adalah istimewa dan saya rasa kita boleh mencipta sejarah.

“Jika kita berjaya meraih kemenangan, kita boleh berada dalam kelompok 130 terbaik dunia dan ini satu langkah yang besar untuk kita.

“Kita juga turun dengan motivasi tersendiri supaya dapat terus menjadi bertambah baik. Kalau kita dapat mencapainya, ini satu perkara yang bagus untuk skuad kebangsaan.

“New Zealand juga jarang beraksi di sini jadi sudah tentu aksi di laman sendiri menjadi motivasi terbaik untuk mereka mendapatkan kemenangan pada perlawanan esok,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini