KUALA LUMPUR: Raih kejayaan atau lupakan impian. Itu situasi yang dihadapi Harimau Malaya menjelang pertemuan menentang Singapura pada aksi terakhir kumpulan B saingan Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.
Hanya kemenangan menentang Singapura akan meneruskan perjuangan pasukan kebangsaan pada kempen kali ini.
Kali terakhir Malaysia melepasi peringkat kumpulan adalah pada edisi 2018 yang menyaksikan Malaysia meraih gelaran naib juara selepas tewas kepada Vietnam 2-3 menerusi agregat di final.
Pemain pertahanan, V. Ruventhiran berkata walaupun pasukan kebangsaan berdepan saat genting untuk mengatasi ‘The Lions’, beliau dan rakan-rakan sepasukannya tetap tenang menghadapi aksi ‘Causeway Derby’ itu.
“Kami perlu bijak menentang mereka, raih kemenangan besar dan dapatkan tiga mata.
“Kami tidak akan tertekan untuk berdepan Singapura,” katanya pada sesi latihan di Wisma FAM.
Singapura kini berkongsi tujuh mata bersama pendahulu, Vietnam yang berkelebihan dari segi jaringan manakala Malaysia di tangga ketiga dengan enam mata.
Harimau Malaya perlu melakar kemenangan besar ke atas Singapura dengan cuba menjaringkan gol menerusi ‘set pieces’ atau situasi bola mati berikutan pasukan lawan dijangka menerapkan corak bertahan untuk mengekalkan kedudukan kedua dalam kumpulan B.