KUALA LUMPUR: Harimau Malaya kekal di kedudukan ke-132 dunia dalam kemas kini terbaharu ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), hari ini.
Kedudukan itu sama dengan kemas kini terdahulu pada 28 November lalu dan kemas kini seterusnya pada 3 April tahun depan.
Kemas kini ranking FIFA yang seterusnya akan menyaksikan Harimau Malaya sudah berada di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Peter Cklamovski yang akan memulakan tugas pada 1 Januari depan.
Memperbaiki ranking FIFA untuk menuju ke kedudukan 100 terbaik dunia menjadi antara misi utama Cklamovski selain memastikan skuad Harimau Malaya mengungguli saingan kelayakan Kumpulan F bagi mencapai sasaran layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Berdasarkan kemas kini terbaharu itu, beberapa perubahan kedudukan membabitkan pasukan Asia Tenggara berlaku dengan Vietnam naik dua anak tangga ke ranking 114 manakala Indonesia jatuh dua tangga ke kedudukan 127.
Thailand kekal sebagai pasukan nombor satu Asia Tenggara apabila kekal di tangga 97 dunia, manakala Filipina jatuh satu anak tangga ke kedudukan 150 dunia.
Singapura yang akan berdepan Harimau Malaya dalam aksi terakhir Kumpulan A saingan Piala ASEAN 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok naik satu tangga ke ranking 160.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.