KUALA LUMPUR: Tembok besar China nyaris ‘dirobohkan’ Harimau Malaya apabila mengikat pasukan ranking ke-80 dunia itu dengan keputusan 1-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Phoenix Hill, Chengdu, sebentar tadi.
Sekaligus menyaksikan skuad kendalian Kim Pan Gon mengekalkan rekod tanpa kalah dalam enam aksi persahabatan antarabangsa sepanjang tahun ini.
Harimau Malaya yang berada di ranking ke-136 dunia mencipta kejutan apabila terlebih dahulu berada di depan hasil jaringan Faisal Halim pada minit ke-11 selepas menerima hantaran Akhyar Rashid.
Tidak dinafikan China dilihat lebih mendominasi permainan yang menyaksikan anak buah Pan Gon dipaksa bekerja keras terutama di bahagian pertahanan susulan serangan bertali arus pasukan lawan yang berusaha memburu gol penyamaan.
Selepas kebal bertahan lebih setengah jam permainan, gawang Harimau Malaya akhirnya bolos juga menerusi rembatan deras Lin Liangming yang gagal diselamatkan penjaga gol, Syihan Hazmi Mohamed pada minit ke-36.
Pan Gon kemudian melakukan beberapa pertukaran pada babak kedua termasuk membawa masuk Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia, Arif Aiman Hanapi, Syahmi Safari dan Junior Eldstal pada awal babak kedua dalam usaha untuk menambah baik persembahan Harimau Malaya.
Aksi sengit terus ditampilkan kedua-dua pasukan dengan Harimau Malaya juga mendapat beberapa peluang menjaringkan gol namun gagal diterjemahkan dengan jaringan.
Malang menimpa pemain China, Li Shuai apabila dia terpaksa diusung dengan menggunakan ambulans pada minit ke-83 susulan perlanggaran dengan Syahmi.
China melakukan beberapa percubaan berbahaya ke gawang Malaysia pada penghujung permainan, namun tetap gagal untuk menambah jaringan dan terpaksa akur dengan keputusan seri berdepan pasukan ranking lebih rendah di gelanggang sendiri.
Secara keseluruhan, satu lagi persembahan positif yang berjaya ditampilkan Harimau Malaya sebelum ke Piala Asia 2023 tahun depan selepas kejayaan mengikat pasukan ranking ke-94 dunia, Syria 2-2, Rabu lalu.
Keputusan seri boleh dianggap satu kejutan buat Harimau Malaya kerana bukan mudah untuk berdepan China yang memiliki ranking lebih tinggi, apatah lagi perlu menyerap tekanan tinggi beraksi di hadapan ribuan penyokong lawan.