comscore
Tumpuan :
Sukan

Harimau Malaya dibarisi tanpa beberapa tonggak utama di Piala Asean?

Oleh: Syakirah Zulkifly

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi bayangan bahawa pasukan kebangsaan akan menyertai Piala Asean 2024 tanpa khidmat tiga tonggak utama dari pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bagaimanapun, masih belum ada pengesahan rasmi mengenai perkara itu, namun ‘panggilan pulang’ tiga pemain, Arif Aiman Hanapi, Matthew Davies dan Feroz Baharudin daripada menyertai perlawanan persahabatan menentang India pada lusa seolah memberi gambaran sebenar skuad Harimau Malaya di kejohanan dwi tahunan itu.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman memaklumkan pengumuman rasmi mengenai senarai akhir pemain yang akan beraksi di kejohanan AFF 2024 bakal diumumkan pengendali Harimau Malaya Pau Marti Vicente pada minggu depan.

“Untuk perlawanan di Hyderabad, jurulatih (Pau Marti Vicente) akan panggil pemain yang akan beraksi di Piala AFF nanti.

“Kemungkinan(Arif Aiman, Matthew Davies dan Feroz)..benda itu kita tunggu apa yang Pau Marti akan umumkan nanti,” katanya, ketika ditemui pada pelancaran produk Pablo Dollah oleh bekas pemain kebangsaan Datuk Dollah Salleh, di sini.

Sebelum itu, FAM menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini memaklumkan bahawa tiga pemain terbabit dilepaskan pulang ke tanah air berikutan permohonan daripada kelab mereka, JDT.

Mengikut rekod, Harimau Malaya menepati ramalan apabila berjaya memastikan kemenangan 3-1 ke atas Laos pada di Stadium PAT, Bangkok, Khamis lalu.

Perlawanan persahabatan ini cukup penting buat skuad Harimau Malaya dalam rangka persiapan menghadapi Piala Asean selain akan mengharungi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac tahun depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini