KUALA LUMPUR: Harimau Malaya kini berada di landasan tepat mengharungi kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 selepas meraih dua kemenangan berturut-turut.
Itu keyakinan yang disuarakan oleh bekas pengendali skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal memperkatakan kejayaan Harimau Malaya menundukkan Kyrgyzstan dan Taiwan, baru-baru ini
Beliau berkata ia merupakan satu petanda yang positif dalam perkembangan arena bola sepak masa kini, serta berharap para pemain dapat meneruskan prestasi cemerlang mereka untuk pusingan kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia selepas ini.
“Sebagai bekas jurulatih, kita nak lihat satu pertukaran dalam aspek bola sepak dan segi permainan. Saya fikir ini (kemenangan) menjadi sebuah inspirasi dan motivasi bagi pemain,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media sempena Kejohanan Bola Sepak Remaja Antarabangsa Kelab Diraja Selangor (RSC)-Dato’ Chu Ah Nge.
Beliau juga tidak menafikan skuad kendalian jurulatih kelahiran Korea Selatan, Kim Pan Gon itu, dilihat lebih berkeyakinan, terutamanya selepas berpeluang menentang pasukan yang mempunyai kekuatan dan ranking yang lebih tinggi.
“Kita lihat pasukan berbeza dan seronok lihat pemain bermain bersungguh-sungguh sehingga wisel penamat. Ia menunjukkan satu mentaliti dan komitmen yang baik…amat penting boleh nampak kepercayaan dan keyakinan mereka,” katanya.
Harimau Malaya berjaya melakar kemenangan ke atas Kyrgyzstan 4-3 pada 16 Nov dan Taiwan 1-0 pada 21 Nov lepas, pada aksi Kumpulan D.
Hasil kemenangan itu, Harimau Malaya di tangga teratas kumpulan mengumpul enam mata, dicabar Oman di tangga kedua dan Kyrgyzstan yang masing-masing mengumpul tiga mata.
Perlawanan ketiga nanti dilihat lebih mencabar, Harimau Malaya akan berdepan pasukan ranking ke-72 dunia, Oman di Stadium Bukit Jalil pada 21 Mac 2024.