Tumpuan :
Sukan

Harimau Malaya ‘berpeluh’ sebelum tumpaskan Timor Leste

Paulo Josue meledak dua jaringan untuk membantu Harimau Malaya menewaskan Timor Leste pada aksi kedua Kumpulan A Piala Asean 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. FOTO FB FAM

Oleh: Syakirah Zulkifly

KUALA LUMPUR: Misi skuad Harimau Malaya untuk meraih tiga mata pertama pada aksi kedua kumpulan ‘A’ Piala Asean 2024 menjadi kenyataan selepas berjaya bangkit menewaskan Timor Leste 3-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Perlawanan berlangsung seimbang sejak awal menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengasak untuk memburu jaringan.

Pengendali kebangsaan, Pau Marti Vicente membuat pertukaran pemain seawal babak pertama, mengeluarkan penyerang, Darren Lok dan membawa masuk Fergus Tierney pada minit ke-32.

Enam minit berselang, gol yang dicari-cari terlebih dahulu hadir buat pasukan negara hasil sentuhan Syafiq Ahmad yang berjaya meletakkan Malaysia di hadapan.

Usaha pasukan lawan mula membuahkan hasil pada masa kecederaan babak pertama selepas Olagar Xavier menyamakan kedudukan sebelum kapten pasukan Timor Leste, Joao Pedro menggandakan jaringan sekali gus menyaksikan skuad kendalian Vincente ketinggalan 1-2 menuju ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, tuan rumah kembali menyamakan kedudukan menerusi jaringan Paulo Josue pada minit ke-70.

Penyerang naturalisasi itu muncul wira apabila sekali lagi meledak jaringan yang juga gol kedua peribadi pada minit ke-83 sekali gus menyelamatkan maruah Harimau Malaya daripada tewas kepada pasukan di ranking ke-196 dunia itu.

Keputusan 3-2 kekal sehingga wisel penamat menyaksikan misi pasukan negara untuk meraih tiga mata berjaya direalisasikan di ‘Home of Harimau Malaya’.

Pasukan kebangsaan akan berangkat ke Bangkok, esok bagi menghadapi aksi ketiga kumpulan ‘A’ Piala Asean menentang juara bertahan, Thailand di Stadium Rajamangala, Sabtu ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini