Oleh Fariz Zolkarnain
KUALA LUMPUR: Skuad kebangsaan Harimau Malaya melakar satu lagi kemenangan menjelang saingan Piala AFF 2022 apabila menewaskan Maldives 3-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.
Ketua jurulatih, Kim Pan Gon melakukan lima pertukaran dalam kesebelasan utama berdepan lawan di ranking ke-154 dunia itu dan ia jelas tidak menjejaskan rentak sebenar Harimau Malaya.
Penyerang kebangsaan, Darren Lok hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-11, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Maldives, Hussain Shareef.
Selepas beberapa kali mengasak, gawang Maldives akhirnya bocor selepas Darren memanfaatkan kesilapan Hussain Sifaau Yoosuf yang gagal mengeluarkan bola dalam kotak penalti, minit ke-24.
Bersambung babak kedua, Harimau Malaya meraih peluang untuk menggandakan jaringan pada minit ke-46, tetapi Darren gagal menyudahkan hantaran Faisal Halim dari sebelah kiri padang.
Bagaimanapun, Darren menebus kekecewaan itu dengan bergaya apabila melakukan umpanan buat Faisal untuk gol kedua Malaysia, minit ke-64.
Kemasukan pemain naturalisasi, Lee Tuck pada babak kedua juga banyak memberi impak positif di bahagian serangan dan hasilnya pemain berusia 34 tahun itu berjaya mencetak gol ketiga negara selepas menyempurnakan hantaran Sergio Aguero, minit ke-88.
Tiada lagi gol menyusul, Harimau Malaya berjaya mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam aksi persahabatan yang diatur dan kini Pan Gon pastinya sudah mendapat gambaran lebih jelas mengenai senarai 23 pemain yang layak mewakili Malaysia di Piala AFF 2022.
Harimau Malaya yang diundi dalam Kumpulan B dijadual mengharungi aksi pertama menentang Myanmar di Stadium Thuwunna, Yangon, 21 Disember ini.