Tumpuan :
Sukan

Harimau Malaya bangkit ikat Syria

Darren Lok menyamakan kedudukan 2-2 Harimau Malaya menentang Syria. – FOTO: NSTP

CHENGDU, CHINA: Skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon menampilkan aksi positif bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat keputusan dua sama menentang Syria petang tadi.

Pencapaian ini meneruskan keputusan cemerlang Harimau Malaya yang belum kalah pada aksi persahabatan Antarabangsa Tier 1 musim ini.

Berlangsung di Stadium East Town, Chengdu, skuad kebangsaan diasak hebat Syria yang menyaksikan lawan membuka jaringan seawal minit ke-12 menerusi percubaan Mardik Mardikian.

Empat minit sebelum rehat, gawang Harimau Malaya bolos lagi, kali ini hasil tandukanYassin Samia.

Bersambung babak kedua, aksi skuad negara nyata berbeza dengan penampilan lebih tersusun.

Hasilnya, hanya selepas enam minit permainan bersambung, Malaysia merapatkan kedudukan menerusi jaringan sayap lincah Akhyar Rashid.

Kim Pan Gon menajamkan lagi jentera serangan dengan memasukkan Darren Lok dan Safawi Rasid.

Percaturan yang nyata membuahkan hasil menerusi kombinasi dua pemain ini yang menyaksikan Darren menyamakan kedudukan enam minit sebelum wisel penamat.

Keputusan dua sama pasti menyemarakkan semangat skuad kebangsaan yang turun menentang tuan rumah China, dalam satu lagi aksi persahabatan Tier 1, Sabtu ini.

Loading...
Terkini