Tumpuan :
Sukan

Harimau Malaya bakal berdepan isu pelepasan pemain menjelang Piala ASEAN?

Oleh: Syakirah Zulkifly

KUALA LUMPUR: Pengelola Liga, Malaysian Football League (MFL) mengesahkan baki saingan Liga Malaysia musim ini tetap akan diteruskan ketika Piala ASEAN 2024 berlangsung bermula 8 Disember depan.

Keputusan itu dibuat bagi memastikan saingan Liga Malaysia dapat ditamatkan mengikut jadual pada April 2025 selain untuk mengelakkan sebarang isu kontrak pemain sekiranya ia berakhir lewat sekali gus akan menambah beban kewangan tambahan kepada setiap kelab.

“MFL juga telah mengadakan perbincangan bersama FAM untuk menyokong persiapan skuad Harimau Malaya menghadapi kejohanan Piala ASEAN 2024 di mana MFL akan membantu dari segi penyusunan jadual buat kelab-kelab yang akan melepaskan pemain menyertai Harimau Malaya.

“Perancangan jadual saingan Liga Malaysia musim ini turut mengambil kira tarikh-tarikh kejohanan dan perlawanan antarabangsa melibatkan FIFA Days, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25, Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2024/25 dan Asean Club Championship (ACC)” jelas MFL dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Selain itu, penutupan beberapa venue disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan serta naik taraf yang tidak dapat digunakan oleh Pasukan Tuan Rumah (PTR) turut menjadi faktor dalam penyusunan baki jadual saingan Liga Malaysia musim ini.

Antara stadium yang terlibat adalah Stadium Majlis Perbandaran Selayang (dari 4 November 2024 hingga 24 Disember 2024), Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu (dari September 2024 hingga Disember 2024), Stadium Perak, Ipoh (dari November 2024 hingga April 2025) dan Stadium Likas, Kota Kinabalu (dari 23 November 2024 hingga 1 Disember 2024).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini