KUALA LUMPUR: Melangkah ke pusingan 16 terbaik, sekali gus mencipta sejarah yang membanggakan.
Itulah harapan menggunung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terhadap skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon yang akan bersaing pada Piala Asia di Doha, Qatar. dari 12 Januari hingga 10 Feberuari depan.
Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata sekiranya Malaysia yang bakal membuat penampilan keempat di Piala Asia berjaya layak ke pusingan 16 terbaik. ia merupakan pencapaian yang cukup baik.
“Sudah tentu kita punya harapan kalau dapat masuk pusingan 16 terbaik dah cukup baik, tapi kita perlu berpijak di bumi nyata bahawa 24 pasukan yang bertanding adalah yang terbaik…jadi dua perlawanan awal cukup mustahak untuk dapatkan mata.
“Kalau dapat layak ke pusingan 16 terbaik satu pencapaian yang bagus, Kim Pan Gon berusaha ke arah itu, begitu juga dengan FAM,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Lahir Presiden FAM & Majlis Doa Selamat Sempena Piala Asia 2023 dan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Wisma FAM di Kelana Jaya, semalam.
Begitupun Hamidin mengakui Malaysia berdepan cabaran hebat, mengambil kira kedudukan anak buah Kim Pan Gon dalam saingan Kumpulan E bersama Jordan, Bahrain dan juara dua kali Korea Selatan.
Mengikut ranking terbaru Persekutuan Bolasepak Antarabangsa, (FIFA), Malaysia berada di tangga ke-130, Jordan (ke-87), Bahrain (ke-86) dan Korea Selatan ke-23 dunia.
Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan ketiga terbaik layak ke pusingan 16 terbaik di Qatar, sekali gus Malaysia berpeluang mencipta sejarah selepas terkandas di peringkat kumpulan dalam tiga edisi terdahulu.
Hamidin turut yakin pemain yang dipilih Pan Gon kali ini adalah yang terbaik bagi menggalas cabaran getir di Qatar.
“Kalau lihat dari (senarai) pemain, saya rasa ini antara pemain terbaik ketika ini, mungkin ada satu dua (pemain) kita terlepas disebabkan kecederaan,” katanya.
Skuad Harimau Malaya yang dijadual berlepas ke Doha pada 1 Jan akan memulakan saingan Kumpulan E bertemu Jordan pada 16 Jan sebelum menentang Bahrain (20 Jan) dan membuat perhitungan dengan Korea Selatan pada 25 Jan.