comscore
Tumpuan :
Sukan

Harapan beregu lelaki negara lebur

KUALA LUMPUR: Harapan beregu lelaki negara Bryan Jeremy Goonting-Low Han Chen melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Remaja Asia 2023, musnah apabila tewas kepada gandingan Indonesia, Zidane Attauba Efendi-Kleopas Binar Putra Prakoso dalam aksi suku akhir hari ini.

Beraksi di Dewan Among Rogo, Yogyakarta di  Indonesia, gandingan negara itu bermula dengan baik untuk menang set pertama 21-18 namun gagal mengekalkan prestasi dan tewas 14-21, 16-21 kepada pasangan tuan rumah itu, dalam saingan yang berlanjutan selama 51 minit.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Malaysia mengakhiri cabaran di kejohanan itu tanpa sebarang wakil di pentas separuh akhir.

Terdahulu pada aksi petang tadi, empat wakil perseorangan negara tidak berjaya melangkah ke pusingan suku akhir kejohanan selepas mereka tewas pada pusingan keempat.

Pemain perseorangan wanita negara, Ung Yi Xing tersingkir daripada kejohanan selepas tewas kepada pilihan pertama kejohanan dari Jepun, Tomoka Miyazaki 8-21 dan 14-21.

Dua lagi wakil perseorangan wanita, Ong Xin Yee ditundukkan wakil Indonesia, Ruzana Ruzana 20-22, 20-22 sementara Siti Zulaikha Muhammad Azmi tewas kepada pilihan kedua kejohanan dari Thailand, Sirada Roongpiboonsopit dalam pertarungan tiga set 21-17, 18-21, 19-21.

Wakil perseorangan lelaki negara Muhammad Faiq Haziq turut sama mengakhiri cabaran di kejohanan itu selepas ditunjukkan jalan keluar oleh pemain China, Zhang Ning 8-21 dan 18-21.– BERNAMA

Loading...
Terkini