KUALA LUMPUR: Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac sekali lagi menjadi tumpuan, susulan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang tidak memuaskan menjelang perlawanan Harimau Malaya menentang Oman, malam esok.
Malah ketika sesi sidang media hari ini, Ketua Jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon dan Oman, Jaroslav Silhavy meluahkan rasa kecewa berkenaan isu padang di SNBJ.
Kedua-dua jurulatih itu jelas amat terkilan dengan apa yang terjadi ketika ini, apatah lagi skuad Harimau Malaya dan Oman tidak dibenarkan berlatih di SNBJ menjelang perlawanan malam esok.
Beberapa hari lepas, tular gambar padang yang kelihatan agak teruk, namun Hans menafikannya dan berkata, itu bukan keadaan terkini serta meminta orang ramai menunggu hari perlawanan.
Bagaimanapun, segalanya terbongkar apabila tersebarnya video di laman YouTube yang dipercayai diambil pada Sabtu lalu, membabitkan perkembangan terkini padang venue itu.
Hasil tinjauan di media sosial, ternyata orang ramai meluahkan perasaan amarah mereka kepada Pengerusi PSM itu apabila dilihat gagal menyediakan segalanya seperti dijanjikan, malah keadaan padang seperti itu boleh memberi kecederaan kepada pemain.
“Suruh dia buat ‘live’ apa kata dia tentang padang hari game (perlawanan) nanti,” kata Shalin Faizda.
“Hans Isaac bukanlah seorang yang ‘pakar’ bola sepak. Dia hanya seorang ‘pelakon’. Dia perlu pergi (lepaskan jawatan). Kita mempunyai ramai lagi golongan profesional berkelayakan dan boleh menggantikannya dengan segera.
“Pelantikan mestilah berdasarkan merit dan bukan kerana kecenderungan politiknya,” kata Mohamad Noranuar Sajari.
“Ini berlaku apabila anda meletakkan orang yang tidak mempunyai pengetahuan, set kemahiran dan latihan pengurusan untuk bertanggungjawab. Anda meletakkan orang di semua tempat yang salah kecuali yang betul,” kata Sathyan Ilangovan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.