Tumpuan :
Sukan

Olimpik Paris: Hannah sedih Pan Gon letak jawatan

Hannah Yeoh memuatnaik gambar beliau berbual dengan Pan Gon (dua dari kanan) di laman facebook miliknya.

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menzahirkan rasa sedih di atas pengumuman Kim Pan Gon yang meletak jawatan selaku ketua jurulatih Harimau Malaya berkuatkuasa serta merta, hari ini.

Hannah berkata, Pan Gon memainkan peranan besar dalam meningkatkan industri bola sepak tanah air sejak dia mula memikul tanggungjawab selaku jurulatih skuad bola sepak kebangsaan pada 2022.

“Sebagai menteri saya lihat beliau memang mempunyai peranan dalam meningkatkan industri bola sepak tanah air. Saya lihat keyakinan rakyat Malaysia semakin bertambah terhadap apa usaha beliau dan pasukan sejak memulakan tugas pada 2022 hingga sekarang.

“Kita lihat stadium sentiasa penuh dan ramai bincang prestasi skuad kebangsaan terutama dari segi peningkatan ranking. Sumbangan beliau dalam arena bola sepak tidak boleh disangkal.

“Pihak kerajaan mengucapkan terima kasih kepada beliau,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Ganjaran Sukan Olimpik Paris 2024, di sini, hari ini.

Jelas Hannah, Pan Gon sendiri sudah memaklumkan kepadanya mengenai hasrat berkenaan dan ia adalah keputusan muktamad sekali gus menolak sebarang bentuk pertimbangan membuat ‘pusingan U’.

“Saya menerima berita peletakkan jawatan beliau dengan rasa sedih. Saya bertanya sama ada ini keputusan muktamad tanpa boleh membuat rayuan atau pertimbangan semula, beliau memberitahu keputusan sudah dibuat apa yang tinggal hanya kenangan manis untuk Malaysia,” katanya.

Katanya, walaupun Pan-gon sudah tidak bersama dengan skuad bola sepak kebangsaan lagi namun pengendali kelahiran Korea Selatan itu sedia menimbang untuk membantu perkembangan sukan ini dari sudut lain.

Terdahulu, Pan-gon mengesahkan dia meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan berkuatkuasa serta-merta dalam satu sidang media khas di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Pan Gon menyatakan keputusan itu diambil atas faktor komitmen peribadi dan FAM melantik pembantu jurulatih, Pau Marti Vicente sebagai pemangku ketua jurulatih dibantu seorang lagi pembantu jurulatih, E Elavarasan.

Mengulas lanjut peletakan jawatannya itu, Pan-gon memaklumkan dia sudah mula memikirkan keputusan drastik itu selepas kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 berakhir selepas perlawanan menentang Taiwan, bulan lalu.

Namun Pan-gon mengambil pendekatan berahsia ketika ditanya mengenai alasan utama keputusan itu diambil apabila hanya menyatakan ia dibuat atas faktor komitmen peribadi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini