Tumpuan :
Sukan

Hannah minta Chong Wei bantu Zii Jia

Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei (kanan) bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebelum ini. – FOTO: Lee Chong Wei / Facebook

KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei memberitahu pembabitannya dalam pasukan Road to Gold (RTG) adalah dengan matlamat untuk membakar semangat atlet bagi merealisasikan impian memenangi pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik.

Bekas pemain nombor satu dunia itu yang memenangi tiga pingat perak Sukan Olimpik, berkata dia sedia untuk mencurahkan segala pengalaman yang dimilikinya bagi membantu atlet negara membuat persiapan menghadapi temasya terbesar dunia berkenaan.

“Apa kita mahu adalah untuk membantu bantu atlet ini terus bersemangat dan geram untuk memburu emas pertama Malaysia. Itulah yang saya mahu lakukan kerana untuk raih emas di Olimpik bukan cita-cita saya saja malah harapan seluruh rakyat Malaysia.

“Jika ingin dibandingkan saya sejak mula-mula saya melangkah ke pentas Olimpik ada beberapa yang kita boleh tambah. Jadi, dengan adanya saya di sini dengan pengalaman saya empat kali di Olimpik, saya mahu membantu atlet-atlet ini mendapat segala keperluan yang mereka mahukan.

“Kehadiran saya tidak hanya tertumpu kepada sukan badminton tetapi sukan-sukan lain juga. Saya harap dengan ada projek seperti ini dapat membantu kontinjen Malaysia meraih emas pada temasya empat tahun sekali itu,” katanya Chong Wei ketika ditemui selepas sidang media pengumuman pembentukan pasukan RTG oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai perjalanan Lee Zii Jia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Chong Wei memaklumkan terdapat perbincangan antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung prestasi tidak menentu ditampilkan pemain perseorangan lelaki profesional negara itu musim ini.

“Memang terdapat perbincangan untuk membantu Zii Jia dan bahagian saya kita akan bantu dia. Menteri juga akan berjumpa dengannya selepas Seluruh England nanti,” katanya.

Terdahulu, Hannah mengumumkan pembentukan pasukan RTG dengan objektif untuk menyelaras usaha negara bagi merealisasikan misi memenangi pingat emas di Sukan Olimpik.

Beliau, berkata mengambil kira struktur dan kaedah pelaksanaan projek Olimpik sebelum ini serta baki tempoh setahun bagi menghadapi Olimpik Paris tahun depan, jawatankuasa RTG akan menyediakan rangka kerja jangka panjang meliputi Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Jawatankuasa RTG akan dipengerusikan secara bersama oleh Hannah dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dengan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam sebagai penyelarasan projek. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini