comscore
Tumpuan :
Sukan

Hangzhou 2023: Pentas terbaik Shah Firdaus serlah potensi sebenar

Azizulhasni (kiri) berharap Shah Firdaus membuktikan kemampuannya di Sukan Asia Hangzhou.

KUALA LUMPUR: Sukan Asia Hangzhou adalah pentas terbaik buat pelumba berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom untuk menyerlahkan potensi sebenarnya.

Kerap dibayangi kelibat Datuk Azizulhasni Awang, baton kini berpindah kepada Shah Firdaus, 27, sebagai sandaran utama bagi menjelmakan kilauan pingat emas di Hangzhou.

Azizulhasni, 35, semalam mengumumkan dia terpaksa menarik diri daripada Sukan Asia Hangzhou selepas mengalami kecederaan pinggul susulan kemalangan berkelajuan tinggi yang dialaminya ketika sesi latihan di Velodrom Nasional Nilai, Jumaat lalu.

Tempat The Pocket Rocketman dalam acara keirin di Hangzhou akan diambil alih oleh Fadhil Zonis yang akan beraksi bersama Shah Firdaus dalam acara itu.

Shah Firdaus sebelum ini disebut-sebut sebagai pengganti kepada Azizulhasni dalam acara keirin dan pecut individu.

Bagi Azizulhasni, dia percaya Shah Firdaus sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab besar di pentas antarabangsa dan sudah tiba masanya untuk dia membuktikan kemampuan sebenarnya.

“Ini adalah masa untuk Shah menyerlah, dia seorang pelumba yang berbakat dan mempunyai semangat juang tinggi seperti semua lihat ketika Kejohanan Trek Asia (di Nilai, Jun lalu).

“Dia agak sedih apabila saya membuat keputusan untuk menarik diri dan mahu saya tetap ikut pasukan ke Hangzhou. Saya beritahu kepada Shah, ini adalah masanya untuk dia membuktikan kemampuan sebenarnya.

“Shah sudah nak hampir tahap dengan saya tetapi mungkin masih ada kekurangan dari segi mental. Ini adalah masanya untuk dia belajar dan menyesuaikan diri berdepan situasi tekanan tinggi,” kata Azizulhasni.

Shah Firdaus sebelum ini sudah membuktikan yang dia sememangnya mempunyai potensi untuk menggalas tanggungjawab besar apabila berjaya meraih gangsa acara keirin di Sukan Komanwel Birmingham 2022 tanpa kelibat Azizulhasni yang ketika itu dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan jantung.

Dalam pada itu, Azizulhasni yang juga pemenang perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu turut menyatakan perkara sama kepada Fadhil yang disifatkannya sebagai pelumba yang mempunyai kekuatan fizikal yang sangat baik.

“Fadhil juga adalah pelumba yang berbakat dan dia adalah yang terkuat (dalam kalangan pelumba basikal trek negara) di dalam gimnasium. Namun, dia ada masalah kepercayaan terhadap diri sendiri dan tahap keyakinan dirinya masih belum berada di tahap tertinggi.

“Saya beritahu dia sudah tiba masanya untuk dia memikul tanggungjawab (harapan negara). Bukan mudah berada dalam tekanan, tetapi jika bukan sekarang bila lagi? Ini adalah peluang yang baik untuk semua orang,” katanya.

Tempat Azizulhasni dalam acara pecut individu akan diganti pelumba muda negara, Ridhwan Sahrom yang akan beraksi bersama Shah Firdaus yang juga abangnya bagi acara itu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini