HANGZHOU: Skuad takraw negara membuka kempen Sukan Asia 2022 dengan langkah kanan apabila menewaskan Indonesia 2-1 pada aksi pertama Kumpulan B acara berpasukan lelaki, hari ini.
Kemenangan itu menyaksikan skuad negara menempah slot ke separuh akhir dan akan menentang Korea Selatan bagi menentukan juara kumpulan selepas mereka turut meraih kemenangan 2-1 ke atas Indonesia, semalam.
Anak buah Ahmad Jais Baharun bangkit tersentak apabila regu pertama kecundang terlebih dahulu sebelum regu kedua dan regu ketiga menjadi penyelamat dengan menundukkan lawan masing-masing pada aksi di Gimnasium Sukan Jinhua.
Regu pertama negara dibarisi Syahir Rosdi (tekong), Khairol Zaman Hamir Akhbar (perejam) dan Amirul Zazwan Amir (pengumpan) gagal memberi saingan apabila tewas 15-21, 19-21 dalam tempoh 54 minit di tangan lawan dibarisi Syamsul Akmal, Jelki Ladada dan Andi Try Sandi Saputra.
Regu kedua negara – Hairul Hazizi Haidzir (Zarif Marican Ibrahim Marican), Afifuddin Razali, Aidil Aiman Azwawi – tewas 20-22 pada set pertama namun bangkit meraih kemenangan 21-17 pada set kedua.
Mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi kemenangan 23-21 pada set ketiga ke atas regu Indonesia yang dibarisi Victoria Eka Praseyo, Saifu Rijal dan Muhammad Hardiansyah Muliang dalam tempoh satu jam 47 minit.
Mata kemenangan disumbang regu ketiga yang dibarisi Haziq Hairul Nizam, Noraizat Nordin dan Farhan Adam selepas menumbangkan Dedi Setiawan (Abdul Halim), Anwar Budiyanto dan Dikyapriadi 21-10, 21-12 dalam masa 39 minit.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Keunikan acara perasmian Sukan Asia Hangzhou pukau dunia
- Perasmian Sukan Asia ke-19, pemimpin asing mula tiba di Hangzhou
- Arul Selvaraj mahu pemain anggap setiap perlawanan di Sukan Asia Hangzhou adalah final
- Hangzhou 2023: Pentas terbaik Shah Firdaus serlah potensi sebenar
- Hangzhou 2022: Skuad badminton negara intai slot separuh akhir