SEPANG: Baki tiga hari akan dimanfaatkan oleh skuad badminton negara untuk membuat persediaan akhir sebelum beraksi dalam acara berpasukan pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 bermula Khamis ini.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berkata, persiapan terakhir skuad Malaysia di Hangzhou adalah bagi menyesuaikan diri dengan keadaan di China.
“Di sana, kita pasti akan ada latihan, mungkin di sebelah pagi. Latihan itu hanya untuk apa yang perlu sahaja selain untuk kekalkan kemantapan fizikal pemain,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Hangzhou, China hari ini.
Mengulas lanjut, Rexy berkata pasukan badminton tekad memburu slot ke separuh akhir acara berpasukan dalam usaha memastikan pingat buat kontinjen Malaysia pada temasya empat tahun sekali itu.
“Kita belum tahu undian bila, tapi kita akan usahakan yang terbaik dan bertarung habis-habisan… Biar sampai (sekurang-kurangnya) ke separuh akhir untuk potensi pingat,” katanya.
Sepuluh pemain lelaki yang turut berlepas ke Hangzhou adalah Lee Zii Jia, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Chen Tang Jie, Ng Tze Yong, Cheam June Wei, Ong Yew Sin, Leong Jun Hao, Teo Ee Yi dan Goh Soon Huat.
Sementara itu pemain perseorangan lelaki negara, Zii Jia yang mengakui agak gementar berdepan saingan di temasya sukan itu tidak mahu terlalu tertekan, sebaliknya ingin mengganggap kejohanan di Hangzhou sama seperti pertandingan di jelajah dunia.
“Agak mendebarkan, tapi sudah biasa kerana kami sering bertanding di luar negara. Untuk pertandingan itu saya akan anggap ia seperti pertandingan biasa dan akan lakukan yang terbaik,” katanya.
Bekas juara Asia itu akan berentap dalam kejohanan berpasukan bersama Tze Yong, Jun Hao dan June Wei bagi perseorangan manakala beregu diwakili Aaron-Wooi Yik, Yew Sin-Ee Yi dan Soon Huat-Tang Jie.
Sukan Asia Hangzhou 2022 yang membuka tirai secara rasmi Sabtu lalu menyaksikan kontinjen negara menghantar seramai 288 atlet untuk bersaing dalam 22 daripada 40 sukan dipertandingkan. – BERNAMA
| ARTIKEL BERKAITAN