comscore
Tumpuan :
Sukan

Hangzhou 2022: Shah Firdaus hadiah gangsa ketiga dari basikal trek

CHUN’AN: Kontinjen negara menambah pungutan pingat gangsa hari ini apabila mendapat tempat ketiga acara pecut basikal trek lelaki.

Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang bertarung dengan Xue Chenxi di penentuan kedudukan ketiga dan keempat di Chun’an Jieshou Sports Centre memastikan mereka tidak menutup hari ketiga perlumbaan dengan tangan kosong.

Atlet berusia 27 tahun itu memenangi kedua-dua pusingan dengan catatan 10.076 saat dan 10.367 saat ke atas wakil tuan rumah sekaligus mengesahkan podium gangsa menjadi miliknya.

Shah Firdaus pada mulanya turun dengan misi mempertahankan gelaran juara yang dimenangi Datuk Mohd Azizulhasni Awang pada 2018 namun cubaan tersebut musnah di fasa separuh akhir.

Pelumba negara itu mengatasi Zhou Yu di perlumbaan pertama namun ia dibatalkan kerana dikatakan melakukan kesalahan ke atas lawan sejurus sebelum garisan penamat.

Insiden tersebut seakan menjejaskan tumpuannya menyebabkan aksi kedua selepas itu mudah dimenangi wakil China berkenaan yang meneruskan kemaraan ke peringkat akhir.

Kesudahannya, pingat emas pecut menjadi milik Ota Kaiya dari Jepun, diikuti Yu tempat kedua dan Shah Firdaus di posisi ketiga.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini