comscore
Tumpuan :
Sukan

[VIDEO] Hangzhou 2022: Qabil cipta sejarah, raih emas kedua negara 

HANGZHOU: Selepas memenangi empat gangsa dan tiga perak dalam lima penampilan di Sukan Asia, akhirnya impian jaguh ekuestrian negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil memenangi pingat emas tercapai.

Ternyata Hangzhou 2022 memberi tuah kepada atlet veteran berusia 43 tahun itu apabila menamatkan penantiannya apabila mengungguli acara dressage individu dalam final yang berlangsung di Pusat Ekuestrian Tonglu.

Kemenangan itu juga membolehkan dia bersama kudanya, Rosenstolz melakar sejarah menyumbang pingat emas sulung kem ekuestrian negara dalam sejarah temasya Sukan Asia.

Qabil yang membuat penampilan sulung di Sukan Asia pada 1998 mengatasi pemenang pingat emas 2018, Jacqueline Siu dari Hong Kong apabila mengumpul 75.780 mata dalam final yang berlangsung di Pusat Ekuestrian Tonglu.

Jacqueline yang menghimpun 73.450 mata meraih pingat perak, manakala Anush Agarwalla dari India (73.030) memenangi pingat gangsa.

Qabil sebelum ini dilaporkan berkata, dia membuat keputusan untuk beralih semula ke Rosenstolz kerana dia merasakan kuda baharunya, Napoli masih belum bersedia untuk menggalas cabaran.

Dia yang berpangkalan di Aarhus, Denmark sebelum terbang ke China berlatih dan menyertai kejohanan dengan Napoli yang berusia 10 tahun tetapi bersama Rosenstolz yang berusia 17 tahun menyaksikan dia memenangi perak di Jakarta-Pelembang, lima tahun lalu.

Selain memenangi perak di Jakarta-Palembang, Qabil turut memenangi dua perak pada 1998 (Bangkok) dan 2006 (Doha) dalam acara berpasukan dressage.

Empat gangsa pula diraihnya pada 2002 dalam acara team jumping, 2006 (individu dressage) dan 2010 (individu dan berpasukan dressage).

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini