comscore
Tumpuan :
Sukan

Hangzhou 2022: Pelayar Asnawi hadiahkan pingat pertama negara

Asnawi Iqbal Adam mengibarkan Jalur Gemilang selepas mengesahkan kedudukan pingat gangsa acara ILCA 4 sekali gus pingat pertama kontinjen negara. Foto: Pelayaran Malaysia.

NINGBO: Malaysia akhirnya mendapatkan pingat pertama di Sukan Asia ke-19 Hangzhou yang dimenangi dalam sukan pelayaran.

Kejayaan itu hadir tiga hari selepas temasya dibuka secara rasmi, menyaksikan Muhammad Asnawi Iqbal Adam menamatkan penantian kontinjen menerusi penyertaan acara ILCA 4 lelaki (L).

Berada di kedudukan ketiga keseluruhan pada hari kedua terakhir semalam, Asnawi menamatkan perlumbaan pusingan 11 di Ningbo Xiangshan Sailing Centre di posisi kesembilan daripada 11 peserta sekali gus mengekalkan tempat untuk meraih gangsa.

Pingat disumbangkan atlet berusia 17 tahun itu merupakan yang pertama di Hangzhou kali ini, selepas beberapa calon ramalan dari sukan wushu dan lain-lain gagal merealisasikannya.

Pingat perak menjadi milik Isaac Gog dari Singapura yang memungut 20 mata, sementara Thailand memenangi emas berdasarkan 11 mata dikumpul Weka Bhanubandh.

Upacara penyerahan pingat dijadual berlangsung esok.

Loading...
Terkini