comscore
Tumpuan :
Sukan

Hangzhou 2022: Hangzhou labuh tirai Sukan Asia ke-19, Nagoya sedia teruskan gemilang Sukan Asia 2026

HANGZHOU: Sukan Asia ke-19 berakhir selepas berlangsungnya upacara penutupan rasmi di Stadium Olimpik Hangzhou selepas bermula 23 September lalu, dengan tuan rumah mencipta rekod meraih 201 pingat emas, selain 111 pingat perak dan 71 gangsa.

Catatan itu mengatasi rekod 199 emas yang dirangkul pada Sukan Asia Guangzhou 2010 sekaligus meneruskan penguasaan China yang bergelar juara keseluruhan sejak 1982.

Lebih menarik China turut mencipta sejarah dengan kehadiran 12,000 atlet dari 45 negara.

Malaysia yang diwakili 288 atlet (188 lelaki dan 100 wanita) dalam 22 daripada 40 sukan yang dipertandingkan, menduduki tempat ke-14 dengan 6 emas, 8 perak dan 18 gangsa untuk mengumpul keseluruhan 32 pingat, melepasi sasaran 27 pingat yang ditetapkan.

Bandar Hangzhou serta stadium yang memiliki kapasiti 80,000 penonton itu bermandi cahaya pada upacara tersebut menerusi paparan skrin digital serta percikan bunga api yang disajikan.

Majlis penutup itu dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan China sebelum perarakan masuk semua kontinjen termasuk Malaysia yang diwakili seramai 40 orang dengan atlet karate, Muhammad Arif Afifuddin Ab. Malik sebagai pembawa Jalur Gemilang.

Sukan Asia Hangzhou telah mencipta 97 rekod kejohanan, 26 rekod Asia dan 13 rekod dunia, menunjukkan taraf yang sangat tinggi.

Temasya Sukan Asia kali ini turut turut menyaksikan Korea Utara meraikan penyertaannya selepas empat tahun dengan membawa pulang enam pingat emas menerusi acara angkat berat.

Perenang China, Zhang Yufei dan Qin Haiyang dinamakan sebagai atlet paling bernilai.

Sememangnya acara renang menampilkan penguasaan tuan rumah apabila menang 28 pingat emas di mana Yufei dan Haiyang menang 11 daripadanya  seterusnya memberi amaran mereka bakal terus mencabar di Sukan Olimpik Paris.

Japan muncul naib juara kali ini dengan 52 emas 67 perak dan 69 gangsa, jauh merosot berbanding 75 emas di Jakarta – Palembang pada 2018, manakala Korea Selatan ketiga dengan 42 emas, 59 perak dan 89 gangsa.

Selepas ucapan penutup oleh pemangku Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA), Raja Randhir Singh, bendera OCA diturunkan.

Bersama-sama diturunkan juga bendera Sukan Asia dan obor, yang kemudian diserahkan kepada wakil Sukan Asia akan datang iaitu Jepun.

Penonton seterusnya disajikan dengan persembahan kebudayaan dari Jepun yang akan menganjurkan Sukan Asia ke-20, yang dikenali sebagai Aichi-Nagoya 2026.

Detik-detik penting Sukan Asia Hangzhou 2022 selama 16 hari lalu ditayangkan semula di skrin, sebelum pembawa obor digital terkenal yang muncul ketika upacara perasmian hadir sekali lagi sebelum api sukan itu dipadamkan.

| ARTIKEL BERKAITAN

 

Loading...
Terkini