comscore
Tumpuan :
Sukan

Hangzhou 2022: Benam Singapura, Malaysian Tigress hidup kembali peluang ke separuh akhir

Foto: MHC

HANGZHOU: Pasukan hoki wanita negara bangkit daripada kekalahan besar ditangan India kelmarin dengan menjadikan Singapura sebagai mangsa dalam aksi ketiga kumpulan A Sukan Asia ke-19.

Barisan kendalian Mohd Nasihin Nubli Ibrahim itu kini mengumpul enam mata daripada tiga aksi sekaligus membuka kembali peluang untuk menduduki dua tangga teratas kumpulan demi melayakkan diri ke separuh akhir menjelang perlawanan penentuan dengan Korea Selatan dua hari lagi.

“Kemenangan kedua yang kami raih ini sangat penting untuk menaikkan semangat pemain sebelum turun perlawanan terakhir pusingan kumpulan menentang Korea.

Rehat satu hari, kami akan menjalani latihan dan barisan kejurulatihan akan merangka satu strategi yang berbeza untuk bertemu pasukan di ranking ke-12 dunia itu, kata Nasihin selepas perlawanan.

Foto: MHC

Pemain negara menampilkan ketajaman tersendiri apabila mendahului Singapura 4-0 yang kesemuanya dihasilkan dari penyudah pukulan sudut penalti.

Wan Norfaiezah Saiuti menyempurnakannya pada minit (m) ke-9, disusuli Siti Nur Arfah Mohd Nor (m-15), Nuraini Abdul Rashid (m-29) dan Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad (m-31).

Kedudukan berubah 1-4 menyaksikan Sardonna Ng menjaringkan gol padang (m-34), namun Malaysian Tigress tidak mengendurkan cengkaman dalam baki aksi.

Nur Afiqah Syahzani Azhar melebarkan kelebihan dari gerakan padang (m-37) disusuli giliran Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin mencatat nama selaku penjaring dari pukulan sudut penalti (m-48).

Hanis Nadiah Onn kemudian melengkapkan kemenangan besar 8-1 Malaysia dengan gol padang dan pukulan sudut penalti (m-54) dan (m-59).

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini