comscore
Tumpuan :
Sukan

Hampir 5,000 tiket sudah terjual

Skuad Harimau Malaya akan beraksi dalam dua perlawanan persahabatan di Kuala Terengganu. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Sambutan jualan tiket bagi perlawanan antarabangsa Tier 1 antara Malaysia dan Kepulauan Solomon pada 14 Jun ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu, agak memberangsangkan selepas hampir 5,000 tiket terjual setakat ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Noor Azman Rahman percaya perlawanan persahabatan berkenaan bakal meriah dengan penganjuran festival di pekarangan stadium bagi menyemarakkan lagi aksi tersebut.

Beliau berkata program yang akan diadakan di pekarangan venue pada hari perlawanan termasuk aksi persahabatan antara bekas pemain Terengganu dan bekas pemain skuad kebangsaan di padang sintetik, pameran serta pertandingan bola sepak bawah umur.

“Saya minta penyokong di pantai timur untuk segera beli tiket. Saya nampak sambutan agak memberangsangkan dengan adanya festival berbanding perlawanan persahabatan di Johor Mac lepas yang dijalankan pada bulan puasa,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Pasukan negara sebelum ini, mengharungi dua aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Mac, menyaksikan skuad kebangsaan mencatat kemenangan 1-0 dan 2-0 masing-masing ke atas Turkmenistan dan Hong Kong.

Dalam pada itu, Noor Azman berkata jualan tiket bagi satu lagi perlawanan persahabatan menentang Papua New Guinea, pada 20 Jun ini di venue sama dilihat agak perlahan apabila kurang daripada 1,000 tiket sahaja terjual setakat ini.

Awal bulan ini, FAM memaklumkan penjualan tiket bagi kedua-dua aksi menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea berharga RM30 ditetapkan bagi tempat duduk terbuka manakala RM5 untuk kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun dan hanya boleh didapati menerusi https://www.tickethotline.com.my/.

Tiada penjualan tiket secara fizikal di stadium dilakukan melibatkan perlawanan dengan kedua-dua negara terbabit.

Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini tidak dapat digunakan berikutan kerja-kerja penggantian rumput ketika ini.

Aksi persahabatan tersebut adalah sebagai medan persediaan Harimau Malaya menjelang Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Qatar, Januari depan.

Loading...
Terkini