Tumpuan :
Sukan

Hamidin kunci mulut soal dilantik Presiden Kehormat FAM

Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin pada Kongres Tahunan FAM-61 2025 di Hotel Grand Dorsett. FOTO NSTP

SUBANG: Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin menyatakan bahawa beliau tidak pasti sama ada akan kembali semula dalam arena bola sepak negara atau tidak selepas ini.

Hamidin meninggalkan FAM selepas membuat keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan yang disandang sejak 2018 pada kongres pemilihan badan induk itu bagi penggal 2025-2029 yang berlangsung, hari ini.

Situasi itu menyaksikan bekas Naib Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub diangkat sebagai presiden kelapan badan induk itu sejak 1951 selepas diumumkan menang tanpa bertanding.

Hamidin ketika ditemui media selepas kongres pemilihan itu enggan memberikan komen lanjut apabila ditanya adakah beliau akan dilantik sebagai Presiden Kehormat FAM.

Malah, ketika diajukan soalan sama ada beliau akan kembali ke dalam arena bola sepak negara pada 2030, beliau berkata: “Saya tak pasti, rasanya tidak”.

Selain itu, Hamidin mengakui tidak ralat meninggalkan FAM sambil menegaskan bahawa pertimbangan untuk membuat keputusan berpisah dengan badan induk itu sudah dibuat lama.

“Mungkin dengan ada muka baharu akan ada idea-idea baharu untuk membawa FAM dan bola sepak Malaysia ke tahap lebih tinggi.

“Saya tidak ralat, sebaliknya sudah lama buat keputusan ini. Selepas ini saya nak beri tumpuan kepada keluarga. Harapan saya selaku mantan presiden sudah tentu saya hendakkan bola sepak negara dan FAM terus maju,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini