Tumpuan :
Sukan

Hafizh Syahrin raih dua mata di Assen

FOTO: OFFICIAL FAN CLUB HAFIZH SYAHRIN/ Facebook

KUALA LUMPUR: Hafizh Syahrin Abdullah menamatkan Pusingan 3 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Litar TT Assen, Belanda dengan meraih dua mata berharga dan menyifatkan pasukan kini semakin menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.

Pelumba PETRONAS MIE Racing HONDA Team itu, memulakan saingan dengan menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-19 sebelum bangkit di Perlumbaan 2, menemui garisan penamat di tempat ke-14 untuk mengumpul dua mata di litar sepanjang 4.555 kilometer (KM) itu.

FOTO: OFFICIAL FAN CLUB HAFIZH SYAHRIN/ Facebook

Selepas tiga pusingan, Hafizh kini berada ke-19 keseluruhan dengan empat mata dan momentum berkenaan diharap dapat dipertingkatkan lagi di pusingan seterusnya yang dijadual berlangsung di Litar Catalunya, Sepanyol dari 5 hingga 7 Mei ini.

“Saya sangat gembira dengan keputusan Perlumbaan 2 kerana kami dapat meraih dua mata berharga,” kata hafizh.

“Perlumbaan Superpole juga sangat berguna dan membantu kami memahami apa yang boleh kami lakukan dengan lebih baik pada perlumbaan akhir dan ia banyak membantu.

“Kami mungkin tidak dapat meraih mata dalam setiap perlumbaan tetapi kami melakukannya dalam setiap perlumbaan hujung minggu dan kami sememangnya mengambil langkah dari satu pusingan ke satu pusingan, membalas usaha setiap orang yang sudah berusaha dengan gigih.

“Saya mahu berterima kasih kepada pasukan dan semua yang menyokong. Kami hanya mempunyai sedikit masa untuk berehat sebelum kembali memberi tumpuan bagi pusingan Catalunya dalam tempoh dua minggu lagi.”

FOTO: OFFICIAL FAN CLUB HAFIZH SYAHRIN/ Facebook

Carta keseluruhan kelas WorldSBK didahului pelumba Aruba.it Racing – Ducati, Alvaro Bautista dengan 174 mata manakala Toprak Razgatlioglu (Pata Yamaha Prometeon WorldSBK) di tempat kedua, 118 mata. Rakan sepasukannya, Andrea Locatelli berada di kedudukan ketiga, 104 mata.

Dalam pada itu, wakil dalam kelas WorldSSP yang mewakili pasukan PETRONAS MIE MS Racing Honda Team, Adam Norrodin berjaya menamatkan kedua-dua perlumbaan meskipun tidak dapat mempamerkan prestasi diinginkan susulan kurang sihat.

“Ini adalah salah satu minggu perlumbaan paling mencabar bagi saya. Fizikal saya jauh daripada 100 peratus, mungkin paling tidak 70 peratus saja. Pagi ini (semalam), belum pasti sama ada saya boleh berlumba kerana saya dibawa bertemu perubatan kerana demam dan suhu tinggi.

“Saya tidak berniat untuk berputus asa dan masih mahu berlumba bagi membalas usaha pasukan dan terima kasih kepada mereka atas tugas yang luarbiasa bagi mempersiapkan semuanya pada minggu ini. Apapun, saya bersyukur kerana dapat melengkapkan kedua-dua perlumbaan,” katanya.

Adam menamatkan kedua-dua perlumbaan masing-masing di tempat ke-22. -BERITA HARIAN.

Loading...
Terkini