OSLO: Erling Haaland muncul wira Norway apabila jaringan hatriknya berjaya membantu menewaskan Kazakhstan 5-0 dalam perlawanan Liga Negara-Negara Uefa, awal pagi tadi.
Sekalipun beraksi tanpa kapten Martin Odegaard, Norway diketuai Haaland di Stadium Ullevaal Stadion itu menyaksikan penyerang Manchester City berkenaan mencipta hatrik ke-25 dalam kariernya.
Haaland mengumpul 30 gol di peringkat antarabangsa dalam 39 penampilan selepas menjaringkan dua gol pada babak pertama sebelum melengkapkan hatriknya pada minit ke-71.
Pemain berusia 24 tahun itu kini mencetak 22 gol keseluruhan untuk kelab dan negaranya musim ini serta mendahului carta penjaring terbanyak Liga Negara-Negara dengan tujuh gol.
Alexander Sorloth menjaringkan gol ketiga Norway manakala Antonio Nusa yang terbabit dengan gerakan untuk Haaland merobek gawang dua kali pada babak pertama turut mencipta nama selaku penjaring pada minit ke-76.
Kemenangan Norway memastikan mereka menduduki tangga teratas Kumpulan B3 dengan 13 mata, dua mata di depan Austria dan mara ke Liga A.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.