LONDON: Enam pemain yang membantu Manchester City memenangi treble pada musim 2022-23 antara calon untuk pemain lelaki terbaik di Anugerah Terbaik FIFA 2023.
Erling Haaland, Julian Alvarez, Kevin de Bruyne, Ilkay Gundogan, Rodri dan Bernardo Silva antara 12 pemain bersaing untuk merebut anugerah itu.
Pemenang dua kali Lionel Messi dan Kylian Mbappe juga antara yang tercalon untuk menerima anugerah berprestij itu bersama Declan Rice dari England.
Pemenang Piala Dunia Argentina, Messi ialah pemegang anugerah pemain terbaik sebelum ini.
Cristiano Ronaldo yang memenangi dua edisi pertama anugerah itu, bagaimanapun tidak dicalonkan selepas menyertai kelab Arab Saudi, Al Nassr pada Disember lalu.
Dalam pada itu, pengendali Manchester City, Pep Guardiola dicalonkan untuk anugerah jurulatih terbaik tahun ini.
Dia berdepan saingan sengit daripada tiga pengurus lain termasuk bekas pengurus Tottenham dan Celtic, Ange Postecoglou.
Bagi anugerah penjaga gol terbaik, calon yang akan bersaing ialah Ederson dari Manchester City dan penjaga gol Manchester United, Andre Onana.
Senarai calon disenarai pendek itu dipilih panel pakar bola sepak yang turut membabitkan bekas penyerang Chelsea, Didier Drogba.
Undian untuk anugerah tahunan buat kali kelapan itu sudahpun dibuka semalam di Fifa.com dan ditutup pada pertengahan Oktober depan. – AGENSI