MADRID: Antoine Griezmann mengumumkan persaraannya daripada bola sepak antarabangsa bersama Perancis sebelum aksi menentang Israel.
Penyerang 33 tahun Atletico Madrid itu memuat naik video di Instagram pada Isnin dengan berkata: “Dengan hati yang dipenuhi memori saya menutup babak ini dalam hidup saya. Terima kasih di atas perjalanan indah ini dan jumpa lagi.
“Selepas 10 tahun menakjubkan yang dipenuhi cabaran, kejayaan dan saat sukar dilupakan, kini tiba masa untuk saya membuka halaman baharu dan memberi ruang kepada generasi seterusnya.
“Menyarung jersi ini adalah satu penghargaan dan keistimewaan.”
Selepas membuat penampilan sulung ketika menentang Belanda pada Mac 2014, Griezmann meledak 44 gol dalam 137 penampilan untuk Les Bleus.
Hanya Olivier Giroud (57 gol), Thierry Henry (51) dan Kylian Mbappe (48) yang mengatasi Griezmann dalam senarai penjaring sepanjang zaman bola sepak lelaki Perancis.
Manakala hanya Hugo Lloris (145 kap) dan Lilian Thuram (142) mengumpul penampilan lebih banyak – dengan Giroud terikat pada 137 penampilan bersama Griezmann.
Griezmann memenangi Piala Dunia 2018 selepas menjaringkan gol dalam kemenangan 4-2 ke atas Croatia pada final.
Dia turut beraksi pada final 2022, yang menyaksikan Perancis tewas kepada Argentina menerusi penentuan penalti.
Griezmann memenangi Kasut Emas di Euro 2016 tetapi membarisi skuad Perancis yang tewas kepada Portugal 1-0 dalam aksi final.
Dia menikmati kejayaan Eropah bersama Perancis pada tahun 2021 apabila menjuarai Final Liga Negara-Negara UEFA.
Penampilan terakhir Griezmann untuk Perancis adalah awal bulan lalu apabila dia dimasukkan sebagai pemain gantian ketika kemenangan 2-0 ke atas Belgium dalam aksi Liga Negara-Negara.
Perancis akan menentang Israel pada 10 Oktober ini yang akan diadakan di Budapest, Hungary. – AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa