LONDON: Pemain pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold dan penyerang Manchester City, Jack Grealish diketepikan daripada skuad England bagi perlawanan bulan ini kerana kecederaan, kata Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris awal pagi tadi.
Dua pemain itu tiba di pusat latihan kebangsaan, St George’s Park, tetapi menarik diri daripada skuad Three Lions selepas menjalani pemeriksaan susulan kecederaan dialami mereka sebelum menghadiri kem latihan itu.
FA menyatakan pengurus Gareth Southgate tidak akan memanggil pemain baharu sebagai pengganti daripada skuad yang diumumkan Khamis lalu.
Mereka akan berdepan Ukraine di Wroclaw, Poland Sabtu ini bagi aksi kelayakan Euro 2024 sebelum berkunjung ke Glasgow untuk berdepan Scotland pada satu aksi persahabatan tiga hari kemudian.
England mendahului Kumpulan C dengan 12 mata daripada empat perlawanan, enam mata di depan pasukan tangga kedua Ukraine. – REUTERS