Tumpuan :
Sukan

Gonzalez wira JDT, ledak dua gol pada penampilan sulung

Gonzalez meledak dua gol pada penampilan sulung bersama JDT hari ini. – Foto JST

KUALA LUMPUR: Bintang baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Alvaro Gonzalez mencipta impak segera apabila dua jaringannya membantu Harimau Selatan menewaskan Central Coast Mariners 2-1 dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), sebentar tadi.

Lebih manis, kemenangan di Stadium Central Coast itu menjadi kejayaan pertama skuad kendalian Hector Bidoglio di gelanggang lawan dalam kempen ACLE musim ini.

Kejayaan itu juga mengukuhkan peluang JDT ke pusingan 16 terakhir selepas mereka melonjak ke tangga kelima Zon Timur dengan 11 mata.

Namun, berbeza dengan Gonzalez, seorang lagi pemain import baharu JDT, Roque Mesa tidak bernasib baik apabila hanya sempat beraksi 23 minit sebelum digantikan dengan Afiq Fazail akibat kecederaan.

Separuh masa pertama berlangsung seimbang tanpa banyak percubaan berbahaya, tetapi JDT mendapat kelebihan apabila penjaga gol Central Coast Mariners, Dylan Peraic Cullen dilayangkan kad merah selepas mengasari Arif Aiman Hanapi pada masa kecederaan.

Bergson Da Silva hampir membuka tirai jaringan, tetapi golnya dibatalkan selepas Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesan dia berada dalam posisi ofsaid.

Namun, Gonzalez akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-64 apabila menyudahkan hantaran Arif Aiman, sebelum Alou Kuol menyamakan kedudukan untuk pasukan tuan rumah enam minit kemudian.

Gonzalez sekali lagi menjadi pemusnah buat Central Coast Mariners apabila menanduk masuk umpanan Heberty Fernandes pada minit ke-79 untuk memastikan kemenangan buat Harimau Selatan.

JDT bakal berdepan cabaran getir dalam aksi terakhir Zon Timur ACLE apabila menerima kunjungan kelab Korea Selatan, FC Pohang Steelers pada 18 Februari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini