comscore
Tumpuan :
Sukan

Golf Maybank 2024: Liyana mahu tenang pada penampilan sulung karier pro

Pemain golf profesional Malaysia, Nur Durriyah Damian (kiri) dan Liyana Durisic (kanan) ketika Sidang Media Maybank Championship 2024 di KLGCC. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pemain Malaysia Liyana Durisic, teruja untuk membuat penampilan sulung dalam kerjaya profesionalnya di Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) dalam Kejohanan Maybank 2024 selama empat hari di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC), Bukit Kiara di sini, mulai esok.

Walaupun pemain berusia 23 tahun itu melihat kejohanan ini sebagai permulaan penting dalam kerjayanya, dia perlu mengambil pendekatan yang tenang dan tidak meletakkan terlalu banyak tekanan pada dirinya dalam cubaan pertama di arena golf profesional.

“Perkara paling penting bagi saya adalah untuk menikmati setiap saat. Ini adalah penampilan pertama saya sebagai pemain profesional.

“Tiada tekanan, tiada jangkaan. Hanya keluar dan nikmati permainan,” katanya dalam sidang media menjelang kejohanan bernilai AS$3 juta (RM13.03 juta) di sini, hari ini.

Walaupun begitu, Liyana juga sedar bahawa dia perlu bersedia untuk meningkatkan permainannya ke tahap yang lebih tinggi apabila berdepan dengan beberapa pemain profesional terbaik dunia.

“Saya rasa acara ini adalah permulaan yang sangat baik untuk kerjaya profesional saya.

“Seronok dapat memulakan sebagai pemain profesional baharu dan bermain dengan mereka yang sudah lama berada dalam bidang ini,” katanya.

Liyana berkata bahawa dia juga fokus untuk belajar sebanyak mungkin terutamanya daripada pemain yang berpengalaman dan berwibawa.

Sementara Liyana bersikap tenang mengenai penyertaannya, Nur Durriyah Damian pula lebih serius kerana dia bercadang untuk bersaing secara kompetitif dalam penampilan keduanya di Jelajah LPGA.

Pemain berusia 29 tahun itu berkongsi bahawa dia telah membuat persediaan selama beberapa bulan dan berharap usahanya akan membuahkan hasil kerana dia bukan sahaja ingin menunjukkan persembahan yang mantap tetapi juga mencipta kenangan indah di kejohanan berprestij itu. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini