LIVERPOOL: Pemain Manchester United, Alejandro Garnacho meledak gol menakjubkan seawal minit ketiga untuk membantu pelawat menang 3-0 ke atas Everton yang dirundung malang apabila ditolak 10 mata dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.
Bintang Argentina berusia 19 tahun itu melakukan sepakan akrobatik dengan menyambut hantaran silang Diogo Dalot, merembat bola masuk ke penjuru gol melepasi penjaga gol Jordan Pickford yang terpedaya sebelum meraikannya dengan cara Cristiano Ronaldo di Goodison Park.
Satu sepakan penalti Marcus Rashford dan penamat bijak Anthony Martial melengkapkan kemenangan pada babak kedua.
Rashford menggandakan pendahuluan United menerusi sepakan penalti pada minit ke-56, yang diberikan selepas VAR mendapati Martial dijatuhkan oleh Ashley Young.
Fernandes menyerahkan bola untuk sepakan penalti kepada Rashford, yang hanya meledak satu gol musim ini dengan kali terakhir pada 3 September lalu.
Martial kemudian menyebabkan beratus-ratus penyokong Everton menuju ke pintu keluar Goodison Park pada minit ke-75 apabila dia meluru menyambut hantaran Fernandes dan menyungkit bola melepasi Pickford bagi satu gol mudah.
United kendalian Erik ten Hag kini di tangga keenam carta liga dengan 24 mata selepas 13 perlawanan.
Manakala Everton yang menghuni tangga ke-14 sebelum ditolak mata kerana melanggar peraturan kewangan liga, kedua tercorot dengan empat mata.